PSG Yakin Dembele Sempat Pulih, Arsenal Berdepan Ujian Sengit di Paris

PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) tetap yakin bahawa penyerang utama mereka, Ousmane Dembele, mampu pulih tepat pada masanya menjelang perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Arsenal yang dijadual berlangsung awal pagi Khamis ini di Parc des Princes.

Dembele sebelum ini menjadi wira buat skuad kendalian Luis Enrique apabila menjaringkan gol kemenangan dalam aksi pertama separuh akhir yang berlangsung di Stadium Emirates. Namun, beliau terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan pada separuh masa kedua.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab tersebut semalam, PSG memaklumkan bahawa Dembele mengalami kecederaan hamstring di kaki kanannya, tetapi tahap kecederaan itu tidak membimbangkan.

“Proses pemulihan Dembele sedang berjalan seperti yang dirancang dan keadaannya bertambah baik. Perkembangan terkini mengenai kesihatannya akan dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, jurulatih PSG, Luis Enrique menyatakan bahawa pasukannya sudah mempunyai strategi alternatif sekiranya Dembele tidak dapat diturunkan. Beliau menyeru semua pemain untuk bersiap sedia dan mengekalkan disiplin serta gaya permainan yang telah diterapkan sepanjang musim ini.

“Kami tidak akan ubah pendekatan permainan. Setiap pemain perlu bersedia untuk beraksi, bukan sahaja bagi saingan UCL tetapi juga untuk perlawanan akhir Piala Perancis yang semakin hampir,” ujar Enrique.

PSG ketika ini sedang memburu kejuaraan trebel musim ini selepas berjaya menjuarai Ligue 1. Bagaimanapun, impian untuk kekal tanpa kalah sepanjang musim musnah apabila mereka tewas mengejut kepada Nice pada bulan lalu.

Lensa Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *