Tradisi Lisan Bentuk Jati Diri Bangsa, Nilai Kemanusiaan

MANJUNG – Warisan tradisi lisan Melayu seperti pantun, gurindam, syair, cerita rakyat dan kata-kata hikmah perlu terus dipertahankan sebagai benteng pembentukan jati diri bangsa, khususnya ketika dunia berdepan perubahan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, tradisi lisan bukan sekadar khazanah budaya yang diwarisi turun-temurun, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran, pandangan alam atau tasawur serta nilai kemanusiaan sesebuah bangsa.

Menurut beliau, setiap cerita dan ungkapan yang diwariskan oleh generasi terdahulu membawa falsafah serta pengajaran tersendiri yang menjadi asas kepada pembentukan identiti dan peradaban masyarakat.

“Penceritaan-penceritaan yang disampaikan tentunya ada makna-maknanya tersendiri dalam membentuk apa yang dipanggil sebagai worldview, tasawur bagi sesebuah bangsa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Rumpun Melayu Sedunia (RUMIA) 2026 di Dewan Merdeka, Seri Manjung, Perak, pada 23 Oktober lalu.

Teknologi Perlu Seiring Nilai Kemanusiaan

Dr Zambry Abd Kadir (tengah) bergambar bersama para panel jemputan sempena Persidangan Rumpun Melayu Sedunia (RUMIA) 2026 di Dewan Merdeka Seri Manjung Perak.

Mengulas cabaran perkembangan teknologi, Zambry menegaskan bahawa kemajuan AI dan penggunaan algoritma dalam kehidupan moden tidak seharusnya menyebabkan manusia kehilangan nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap warisan budaya.

Sebaliknya, beliau berpandangan sistem pendidikan tinggi perlu memberikan penekanan kepada pendekatan antara disiplin yang menggabungkan bidang sains dan teknologi dengan psikologi serta sains sosial.

Pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan teknologi bukan sahaja menghasilkan kemajuan dari sudut inovasi, malah terus berteraskan nilai kemanusiaan.

“Dunia semakin sedar manusia semakin kehilangan jiwanya, semakin hilang nilai kemanusiaannya. Yang memasukkan semula, yang meniupkan semula nilai-nilai kemanusiaan itu ialah daripada inilah, perkara-perkara yang kita lakukan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu usaha memartabatkan bahasa, budaya, seni dan kesusasteraan Melayu terus diperkasakan, khususnya dalam kalangan mahasiswa yang bakal menjadi pewaris kepimpinan dan pembangunan negara.

RUMIA 2026 Angkat Warisan Peradaban Melayu

Dr Zambry Abd Kadir (tengah) serta Md Amin (empat dari kiri) bergambar bersama para tetamu dan peserta sempena Persidangan Rumpun Melayu Sedunia (RUMIA) 2026 di Dewan Merdeka Seri Manjung Perak.

Persidangan RUMIA 2026 yang membawa tema “Tradisi Lisan Mendidik Jiwa” menjadi platform menghimpunkan ahli akademik, pendidik dan mahasiswa untuk membincangkan kepentingan tradisi lisan dalam pembentukan pemikiran, sahsiah serta identiti masyarakat Melayu.

Penganjuran persidangan itu turut dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha memperkasa bahasa dan budaya Melayu menerusi pelbagai program terdahulu, termasuk PULARA serta kongres bahasa yang dianjurkan di Perak dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara panel yang menjayakan persidangan tersebut ialah Prof. Dr. Habib Zarbaliyev, Dr. Hj. Zabidin Hj. Ismail, Dr. Shafa’atussara Silahuddin, Roslan Madun, Suhardi S. atau Pak Ngah Suhardi, Muhammad Arief Ab Razak, Diazlam Jazlan dan Dr. Hasrina Baharum.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, RUMIA menjadi medan penting untuk mengangkat tradisi lisan sebagai khazanah ilmu dan kebijaksanaan bangsa yang wajar terus dipelihara.

Menurutnya, cerita rakyat, pantun, peribahasa dan syair bukan sekadar menggambarkan sejarah serta kebudayaan masyarakat Melayu, malah berperanan mendidik jiwa, membentuk sahsiah dan menyemai nilai murni dalam kehidupan.

“Persidangan itu dianjurkan oleh Institut Peradaban Melayu UPSI sebagai usaha memperkukuh penghayatan dan pemeliharaan warisan peradaban Melayu agar terus subur dalam jiwa masyarakat serta diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Penganjuran RUMIA 2026 sekali gus memperlihatkan komitmen UPSI untuk memastikan khazanah tradisi lisan Melayu kekal relevan sebagai sumber ilmu, pendidikan dan pembentukan identiti bangsa dalam mendepani cabaran dunia moden.

LENSA MALAYSIA

Fakta. Tegas. Tanpa Tapisan.

Sumber: Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 24 Oktober 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *