
PETALING JAYA, 3 Oktober – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) kini secara rasmi berdaftar di bawah Civil Defense Auxiliary (CDA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), membuka ruang kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), pengurusan risiko serta tadbir urus keselamatan.
Pendaftaran MiSHA di bawah kluster CDA01 – Advisory, Research & Development (R&D) & Governance, yang merupakan salah satu daripada 12 kluster kepakaran CDA, menyediakan platform formal untuk menyalurkan kepakaran profesional dan industri kepada APM, khususnya dalam aspek KKP, pengurusan risiko, penyelidikan dan pembangunan serta tadbir urus.
Menurut kenyataan rasmi APM, CDA diwujudkan untuk membolehkan organisasi kerajaan, bukan kerajaan serta individu yang mempunyai kompetensi tertentu menyumbang kepada APM dan masyarakat secara keseluruhan.
Melalui kerjasama ini, MiSHA berpotensi menyumbang kepakaran dalam beberapa bidang kritikal termasuk perkhidmatan nasihat KKP, pengurusan risiko operasi, pembangunan Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC), prosedur kerja selamat serta langkah kawalan risiko yang berkesan.
MiSHA juga boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan standard dan garis panduan KKP, sistem tadbir urus, audit, pemantauan prestasi serta indikator keselamatan dan kesihatan pekerjaan di APM.
Kepakaran MiSHA boleh dimanfaatkan dalam penyiasatan dan analisis insiden, pembangunan budaya serta kepimpinan keselamatan, peningkatan kompetensi KKP, keselamatan pembinaan dan kejuruteraan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan industri.
Aspek lain yang berpotensi diterokai termasuk pengurusan risiko psikososial, keletihan, tekanan haba, pendedahan kepada asap atau bahan berbahaya serta keselamatan dan kesejahteraan anggota selepas menjalankan operasi kecemasan, termasuk insiden seperti bahan kimia, kebakaran industri, keruntuhan struktur, ruang terkurung dan kejadian berisiko tinggi.
Kerjasama ini juga berpotensi menghubungkan APM dengan sektor industri melalui rangkaian profesional MiSHA yang merangkumi bidang pembinaan, kejuruteraan, minyak dan gas, pembuatan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Antara inisiatif yang boleh diteroka ialah pembangunan kerangka keselamatan dan kesihatan pekerjaan khusus untuk anggota dan petugas respons kecemasan, termasuk penilaian risiko, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), kompetensi, keselamatan operasi dan pelaporan insiden.
Pendaftaran MiSHA di bawah CDA01 itu dijangka memperkukuh kerjasama antara APM dan MiSHA dalam menggabungkan kepakaran pertahanan awam dengan pengalaman industri serta profesional KKP, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kesiapsiagaan, keselamatan anggota dan ketahanan pengurusan kecemasan negara.
Dalam majlis yang berlangsung bersempena Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, penyerahan Sijil Perakuan Pendaftaran CDA kepada MiSHA disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Pj. (PA) Ghazali Abd Rahman, diiringi Pengarah APM Negeri Selangor, YS Kol. (PA) Fazlisyah Muslim.
Sijil tersebut diterima bagi pihak MiSHA oleh Mejar Bersekutu (PA) Ts. Abd Mutalib Abd Gapar.


