“Po” : Sopan Santun Rakyat Manila yang Mengajar Kita Sesuatu

Oleh: Noor Fazrina Kamal, Editor Lensa Malaysia

Semasa kunjungan saya ke Manila baru-baru ini, ada satu perkara yang benar-benar mencuri perhatian saya. Bukan sahaja tentang kebersihan bandar atau undang-undang ketatnya, tetapi tentang sopan santun masyarakatnya.

Setiap kali saya bertanya arah, membeli sesuatu di kedai, atau sekadar berbual dengan orang tempatan, hampir semua jawapan yang saya terima disertai dengan perkataan “po”. Pada awalnya, saya agak keliru. Tetapi lama-kelamaan saya menyedari bahawa itu adalah cara masyarakat Filipina menunjukkan rasa hormat dalam perbualan seharian mereka.

Bahasa Sebagai Cerminan Budaya

Dalam budaya mereka, “po” digunakan sebagai tanda sopan apabila bercakap dengan orang yang lebih tua, orang asing, atau sesiapa sahaja yang mahu dihormati. Menariknya, perkataan ini bukan sekadar formaliti, tetapi diucapkan dengan penuh ikhlas.

Saya terfikir, betapa indahnya apabila nilai hormat ini dijadikan sebahagian daripada bahasa harian. Ia membentuk satu budaya yang lembut, penuh adab, dan mewujudkan suasana mesra walaupun di tengah kesibukan bandar raya Manila.

Sopan Santun dan Disiplin

Bukan itu sahaja, saya juga kagum dengan disiplin rakyat Manila yang sentiasa beratur. Sama ada untuk menaiki lif, masuk ke tandas awam, membeli tiket, membayar barang di pasar raya, atau menaiki pengangkutan awam, mereka tetap beratur dengan tenang.

Tiada adegan berebut, tiada suara meninggi, dan tiada yang cuba memotong barisan. Walaupun jumlah penduduk Manila jauh lebih padat daripada Kuala Lumpur, masyarakatnya mampu mengamalkan budaya beratur dengan penuh sabar. Pemandangan ini membuatkan saya rasa begitu tenteram kerana segalanya bergerak dalam aturan yang teratur.

Bayangkan, dalam kota besar dengan lebih 13 juta penduduk, rakyatnya masih boleh mengamalkan kesabaran yang tinggi, malah sopan santun tetap terpelihara. Gabungan antara bahasa yang beradab dan disiplin dalam beraturmenjadikan kehidupan harian di Manila kelihatan lebih harmoni.

Pengajaran untuk Kita di Malaysia

Budaya ini wajar dijadikan renungan. Di Malaysia, kita juga ada adat sopan santun yang tersendiri. Namun, adakalanya kita masih melihat orang tidak sabar beratur di kaunter pembayaran, potong barisan di lif, atau berebut tempat duduk di pengangkutan awam.

Pengalaman di Manila mengingatkan saya bahawa sopan santun dan disiplin adalah kembar yang tidak boleh dipisahkan. Ia bukan sahaja memudahkan urusan harian, tetapi juga membentuk suasana masyarakat yang lebih aman dan saling menghormati.

Penutup

Manila bukan sahaja mengajar saya tentang keberkesanan undang-undang larangan merokok, tetapi juga tentang nilai budi bahasa dan disiplin sosial yang begitu menebal dalam jiwa rakyatnya. Satu perkataan kecil, “po”, mampu mengubah suasana perbualan. Dan satu barisan yang kemas mampu mengubah wajah sebuah masyarakat.

Jika kita di Malaysia dapat mengekalkan sopan santun sambil mengamalkan disiplin dalam perkara kecil seperti beratur, saya percaya negara kita akan menjadi jauh lebih indah, tersusun dan menyenangkan untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *