
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Malaysia (MiSHA) telah mengemukakan cadangan untuk menyediakan latihan dan pendedahan awal kepada pekerja Pakistan sebelum mereka tiba di Malaysia bagi meningkatkan tahap persediaan mereka untuk memasuki sektor pekerjaan di negara ini.
Timbalan Presiden MiSHA, Ts. Abd Mutalib Abd Gapar menyatakan bahawa kehadiran pekerja Pakistan dalam industri di Malaysia menjadi faktor utama mendorong persatuan itu untuk meneroka peluang kerjasama dengan negara tersebut.
Menurut beliau, cadangan latihan awal tersebut merupakan salah satu aspek kerjasama yang dibincangkan bersama Pakistan Safety Council (PSC) semasa lawatan delegasi MiSHA ke Karachi baru-baru ini.
“Sebagai contoh, melalui latihan untuk pekerja-pekerja sebelum tiba di Malaysia, pihak PSC mungkin boleh mengendalikan latihan awal atau induksi, serta memberikan kesedaran keselamatan.
“Dengan cara ini, apabila mereka tiba di Malaysia, mereka sudah mempunyai pemahaman asas dan telah melalui proses saringan awal,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Abd Mutalib menambah, perbezaan budaya antara pekerja dari kedua-dua negara boleh menimbulkan cabaran yang signifikan, dan ini mendorong MiSHA untuk berbincang dengan pihak di negara sumber bagi mencari penyelesaian yang berkesan.
Pertemuan yang diadakan di Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi itu turut dihadiri oleh Konsul Jeneral Malaysia, Mohd Yunus Ibrahim serta Ketua Pegawai Eksekutif PSC, Ali Raza Memon.
Delegasi MiSHA diketuai oleh Abd Mutalib bersama Bendaharinya, Saiful Tarmaji; Ketua Perhubungan Industri Sektor Pembinaan, Mohd Ekhsan Noor Kamal; dan Penasihat Hubungan Antarabangsa, Komunikasi dan Media, Ahmad Syazwan Syuwari Nordin.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai amalan terbaik dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta meneroka peluang kerjasama rentas negara.
Sementara itu, Ali Raza menyatakan bahawa PSC berusaha menyokong tenaga buruh Pakistan melalui latihan dan pendedahan awal sebelum mereka datang ke Malaysia.
“Pakistan mempunyai sumber tenaga buruh yang berkualiti. Kami berusaha menyokong mereka dengan menyediakan latihan serta pendedahan awal sebelum mereka ke Malaysia, dan begitu juga mereka yang datang dari Malaysia ke negara kami,” ujarnya.
Mohd Yunus pula menyatakan bahawa kerjasama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan membuka ruang baharu dalam hubungan kedua-dua negara, terutamanya menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Pakistan pada 2027.
Selain perbincangan bersama PSC, delegasi MiSHA juga turut memenuhi undangan ke persidangan dan anugerah tahunan kecemerlangan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar anjuran badan berkenaan bagi tahun 2026.



