MiSHA, NCC Perkukuh Kerjasama KKP dan Pemindahan Teknologi China-Malaysia

NANJING, CHINA – Hubungan kerjasama Malaysia-China dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) terus diperluaskan apabila Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat Nanjing Chemical Construction Co. Ltd. (NCC) di Yangxin Road, Nanjing, Jiangsu.

Ada nilai sejarah tersendiri di sebalik lawatan MiSHA ke Nanjing kali ini. Lebih enam abad lalu, ketika Nanjing menjadi ibu negara Dinasti Ming, hubungan rasmi antara kerajaan China dan Kesultanan Melayu Melaka mula terbina menerusi misi diplomatik dan perdagangan sekitar awal abad ke-15. Hubungan itu kemudiannya berkembang bukan sekadar dalam urusan perdagangan, malah membawa kepada pengiktirafan terhadap Melaka serta mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah kerajaan dan pusat perdagangan penting di rantau ini. Pada 1411, Parameswara sendiri mengetuai rombongan Melaka menghadap Maharaja Yongle ketika pusat pemerintahan Dinasti Ming masih berpusat di Nanjing.

Lebih 600 tahun kemudian, menjelang tanggal 31 Ogos ketika Malaysia menyambut Hari Kebangsaan, jejak hubungan itu seakan menemukan kembali titik sejarahnya di Nanjing. Jika dahulu hubungan Melaka-China dibina melalui diplomasi, perdagangan dan pertukaran antara dua kerajaan, hari ini semangat yang sama diteruskan dalam wajah baharu menerusi perkongsian ilmu, pertukaran kepakaran dan pemindahan teknologi. Lawatan MiSHA ke NCC justeru membawa simbolik tersendiri, menghubungkan warisan hubungan berabad-abad Malaysia-China dengan usaha masa kini untuk memperkukuh Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), khususnya dalam industri pembinaan dan aktiviti berisiko tinggi.

Ia turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak meneroka bentuk kerjasama lebih luas dalam usaha memperkukuh budaya KKP, khususnya melalui penggunaan teknologi dan kejuruteraan yang boleh membantu mengurangkan risiko di tempat kerja.

Delegasi MiSHA yang diketuai Naib Presidennya, Ts. Abd Mutalib bin Abd Gapar, melihat kerjasama rentas sempadan sebagai antara pendekatan penting dalam memastikan industri tempatan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi serta amalan keselamatan terkini.

Menurut beliau, perkongsian pengalaman bersama organisasi antarabangsa boleh membuka ruang kepada adaptasi teknologi dan kaedah kerja yang sesuai untuk meningkatkan kompetensi tenaga kerja, produktiviti serta tahap keselamatan projek di Malaysia.

Antara sistem yang mendapat perhatian delegasi ialah penggunaan dashboard interaktif secara masa nyata yang membolehkan pihak pengurusan NCC memantau prestasi KKP, aspek kualiti dan kemajuan projek secara serentak bagi projek-projek yang sedang dilaksanakan.

Melalui sistem berpusat itu, maklumat daripada tapak projek dapat dilihat dengan lebih pantas, sekali gus membantu pengurusan mengenal pasti isu, membandingkan prestasi serta menentukan tindakan susulan secara lebih sistematik.

MiSHA turut diperkenalkan kepada penggunaan portable welding machine yang membolehkan sebahagian proses kimpalan disiapkan di aras tanah sebelum komponen berkenaan dipasang pada kedudukan sebenar.

Kaedah tersebut membantu mengurangkan kebergantungan kepada kerja kimpalan di tempat tinggi, sekali gus mengecilkan pendedahan pekerja terhadap risiko kerja panas dan risiko jatuh.

Selain meningkatkan keselamatan, teknologi berkenaan juga berpotensi memendekkan tempoh proses kimpalan sehingga hampir 50 peratus berbanding kaedah konvensional, selain menghasilkan mutu sambungan yang lebih konsisten.

Building Information Modelling (BIM) bantu kesan risiko sebelum pembinaan

Satu lagi pendekatan yang diketengahkan NCC ialah penggunaan Building Information Modelling (BIM) dalam merancang dan melaksanakan kerja pembinaan.

Teknologi itu membolehkan pasukan projek membandingkan reka bentuk digital dengan keadaan sebenar di tapak bagi memastikan kerja pembinaan dilaksanakan selaras dengan lukisan dan spesifikasi yang diluluskan.

Sebarang potensi ketidakselarasan boleh dikenal pasti lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kesilapan pembinaan, kerja pembetulan dan masalah yang boleh menjejaskan kelancaran projek.

Lebih menarik, penggunaan BIM tidak hanya tertumpu kepada aspek teknikal pembinaan.

Ia turut dimanfaatkan dalam perancangan KKP dengan mengenal pasti lebih awal lokasi atau aktiviti yang memerlukan kawalan keselamatan tertentu sebelum sesuatu peringkat kerja bermula.

Pendekatan itu membolehkan elemen keselamatan tidak lagi dilihat sebagai tindakan selepas sesuatu risiko muncul, sebaliknya dirancang dan dimasukkan sejak peringkat awal sesuatu projek.

Simulasi digital sebelum heavy lifting

Bagi operasi heavy lifting, NCC menggunakan simulasi digital berasaskan desktop sebelum proses pengangkatan sebenar dijalankan di tapak.

Simulasi berkenaan membolehkan pasukan projek menilai kedudukan kren, radius pengangkatan, laluan beban, kemungkinan halangan serta keadaan persekitaran sebelum operasi sebenar dilaksanakan.

Kaedah itu membantu mengenal pasti potensi bahaya lebih awal supaya langkah kawalan dapat dirancang sebelum aktiviti pengangkatan bermula.

Selain penggunaan teknologi, beberapa kawalan praktikal yang dilaksanakan NCC turut menarik perhatian delegasi.

Antaranya penggunaan sistem pembesar suara ketika aktiviti heavy lifting untuk memberi amaran kepada pekerja supaya menjauhi zon larangan dan radius operasi pengangkatan.

Bagi keselamatan elektrik pula, temporary electrical distribution board ditempatkan di dalam ‘housing’ dan ‘guarding’ yang lebih tersusun bagi mengurangkan risiko sentuhan tidak sengaja, kerosakan peralatan serta pendedahan terhadap bahaya elektrik.

Di pintu keluar projek, NCC menggunakan sistem cucian kenderaan automatik bagi membersihkan tayar dan bahagian bawah lori sebelum kenderaan meninggalkan kawasan pembinaan.

Langkah berkenaan membantu mengelakkan lumpur dan tanah daripada terbawa ke jalan awam, sekali gus menjaga kebersihan persekitaran dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Bagi pengawalan habuk, NCC pula menggunakan sistem water bowser berasaskan motor elektrik untuk membasahkan permukaan tanah dengan lebih efektif, terutama di kawasan yang mempunyai pergerakan kenderaan dan aktiviti pembinaan yang tinggi.

MiSHA berpandangan pengalaman sepanjang lawatan itu menunjukkan bahawa peningkatan prestasi KKP tidak semestinya memerlukan teknologi yang terlalu kompleks atau mahal.

Sebaliknya, gabungan teknologi digital, penyelesaian kejuruteraan yang praktikal, pemantauan yang konsisten serta disiplin operasi mampu memberikan kesan besar terhadap keselamatan, kualiti dan produktiviti projek.

NCC sokong kerjasama dengan MiSHA

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar NCC, Fang Xiangqian, berkata pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuhkan hubungan dengan MiSHA, khususnya melibatkan pertukaran kepakaran, teknologi dan amalan terbaik KKP.

Beliau berharap pertemuan di Nanjing itu dapat menjadi permulaan kepada lebih banyak program serta inisiatif dua hala antara kedua-dua organisasi.

“NCC memberikan sokongan penuh terhadap kerjasama yang bakal dilaksanakan bersama MiSHA. Kami berharap pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif dua hala, perkongsian kepakaran serta pertukaran pengetahuan antara kedua-dua pihak.

“Kerjasama seperti ini bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan antara Malaysia dan China, malah membantu memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan terus diperkasakan di tempat kerja serta budaya KKP diterapkan secara konsisten sepanjang pelaksanaan sesuatu projek,” katanya.

Lawatan berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang perkongsian pengetahuan antara kedua-dua negara, terutama dalam menilai teknologi serta amalan yang berpotensi disesuaikan dengan keperluan industri pembinaan di Malaysia.

Ia turut mencerminkan bagaimana hubungan Malaysia-China boleh diperluaskan bukan sahaja melalui perdagangan dan pelaburan, tetapi juga menerusi diplomasi teknikal dan perkongsian ilmu dalam bidang keselamatan pekerjaan.

Lawatan diakhiri dengan pertukaran cenderamata bersempena Bulan Kebangsaan serta komitmen MiSHA dan NCC untuk meneruskan kerjasama dalam aspek pemindahan teknologi, pembangunan kompetensi, pertukaran kepakaran dan pemerkasaan budaya KKP pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *