MiSHA dan SHENA Brunei Perkukuh Kerjasama Strategik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Serantau

Bandar Seri Begawan – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) telah mengadakan satu perbincangan dua hala bersama Safety, Health and Environment National Authority (SHENA), Brunei Darussalam, sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Sesi perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Yang Mulia Haji Muhsin bin Haji Ahmad, dan disertai barisan pengurusan kanan SHENA yang terdiri daripada Yang Mulia Hazmin Hatta bin Haji Hamzah, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Yang Mulia Hairol Nizam bin Mokti, Pengarah Bahagian Keselamatan Proses, Yang Mulia Khairul Yusrin bin Haji Abdul Rahman, Pemangku Pengarah Bahagian Siasatan dan Tindak Balas, Yang Mulia Nadiah Hanim binti Haji Md Salleh, Pemangku Pengarah Bahagian Pematuhan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Yang Mulia Salmaya Rahayu binti Salleh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik serta Yang Mulia Umi Khadijah binti Haji Mohd Zaini, Pengarah Bahagian Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat, bersama pegawai kanan SHENA yang lain.

Perbincangan tersebut menumpukan kepada penerokaan potensi kerjasama dua hala antara MiSHA dan SHENA, khususnya dalam aspek perkongsian kepakaran dan teknologi, pembangunan program pengiktirafan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH/KKP), serta pelaksanaan inisiatif bersama bagi memperkukuh piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan di peringkat industri dan serantau.

Dalam pertemuan yang sama, MiSHA turut menyatakan hasrat untuk mencalonkan SHENA sebagai wakil Brunei Darussalam bagi MiSHA Asia Country Award, bersempena penganjuran MiSHA Asia Excellence Awards on OSH Principles of Prevention (OSHPoP) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Pencalonan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan dan komitmen SHENA dalam memperkukuh tadbir urus keselamatan, kesihatan dan persekitaran kerja di Brunei Darussalam.

SHENA turut merakamkan penghargaan terhadap inisiatif berterusan MiSHA dalam membantu industri meningkatkan tahap pematuhan dan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Antara inisiatif yang mendapat perhatian positif ialah usaha MiSHA membudayakan amalan KKP sejak peringkat awal melalui pelaksanaan Program OSH di Sekolah.

Delegasi MiSHA diketuai oleh Ts. Abd Mutalib bin Abd Gapar, Timbalan Presiden MiSHA merangkap Pengerusi MiSHA Asia Excellence Awards on OSH Principles of Prevention (OSHPoP) 2025. Turut serta ialah Mohamad Abdullah bin Sahry, Setiausaha Agung MiSHA,  Saiful bin Tarmaji, Bendahari Agung MiSHA, dan Mohamad Nazri bin Abdul Muin, Pengarah Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa MiSHA.

Menurut Ts. Abd Mutalib, perbincangan tersebut membuka ruang yang lebih luas ke arah kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi, khususnya dalam memperkukuh prinsip pencegahan KKP, meningkatkan keupayaan industri serantau, serta memupuk budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mampan merentas negara.

Kedua-dua pihak sebulat suara menyatakan komitmen untuk meneroka bentuk kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan, sejajar dengan aspirasi pembangunan negara masing-masing serta keperluan industri yang semakin mencabar dan kompleks.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *