
PETALING JAYA, 11 November – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) hari ini mengadakan sesi libat urus bersama Bangladesh Occupational Safety, Health and Environment (OSHE) Foundation, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memperjuangkan hak dan keselamatan pekerja di Bangladesh.
Pertemuan ini diadakan bagi membincangkan cadangan kerjasama strategik serantau dalam memperkukuh budaya pencegahan kemalangan di tempat kerja, sejajar dengan prinsip Occupational Safety and Health Principle of Prevention (OSHPoP) yang diperjuangkan MiSHA.
OSHE Foundation merupakan antara NGO paling berpengaruh di Bangladesh yang giat menjalankan penyelidikan, program latihan, serta advokasi terhadap kerajaan bagi mempertingkat standard keselamatan pekerjaan, khususnya dalam sektor formal dan tidak formal. Badan itu turut dikenali atas peranannya dalam memperjuangkan keselamatan pekerja selepas tragedi besar seperti runtuhan kilang Rana Plaza dan letupan kilang Tampaco Foils.
Cadangan Kerjasama Strategik
Dalam sesi libat urus tersebut, MiSHA dan OSHE Foundation telah membentangkan beberapa cadangan kolaborasi di bawah tajuk “Proposal on Potential Collaboration”, antaranya:
- Pencalonan satu syarikat dari Bangladesh untuk menerima pengiktirafan MiSHA ASIA Country Award on OSH Principle of Prevention (OSHPoP) 2025, mewakili Bangladesh di pentas serantau.
- Lawatan rasmi ke Pejabat OSHE Foundation serta lawatan ke syarikat pemenang bagi kategori tersebut.
- Jemputan kepada pakar keselamatan OSHE Foundation sebagai penceramah dan panel jemputan dalam MiSHA Asia HSE Leadership Symposium 2026, yang disasarkan akan berlangsung pada suku kedua tahun 2026.
- Pembangunan Kursus Induksi Keselamatan (setara dengan CIDB Green Card) bagi pekerja Bangladesh sebagai syarat wajib sebelum bekerja di Malaysia.
- Cadangan lain yang melibatkan perkongsian teknologi, pengetahuan serta peningkatan kapasiti dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di rantau Asia.
Perkukuh Jaringan Serantau
Timbalan Presiden MiSHA, Ts. Abd Mutalib Bin Abd Gapar, berkata sesi tersebut merupakan langkah penting dalam memperluas kerjasama serantau dan memperkukuh rangkaian keselamatan industri di Asia.
“MiSHA komited untuk menjadikan Prinsip Pencegahan sebagai budaya bersama di peringkat Asia. Kerjasama dengan Bangladesh OSHE Foundation bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh, malah membuka ruang untuk mewujudkan standard keselamatan yang lebih harmoni dan inklusif,” katanya.
Sementara itu, wakil Bangladesh OSHE Foundation, A.R. Chowdhury Repon menyambut baik inisiatif tersebut dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam mempertingkat tahap kesedaran serta latihan keselamatan bagi pekerja Bangladesh yang bekerja di luar negara.
MiSHA melalui Anugerah Kecemerlangan Asia OSH Principle of Prevention (OSHPoP) 2025 berhasrat untuk menjadikan platform tersebut sebagai pemangkin kepada penyatuan usaha Asia dalam mengangkat nilai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Kerjasama dengan Bangladesh OSHE Foundation ini diharap dapat membuka jalan kepada pelaksanaan inisiatif latihan, pensijilan keselamatan dan perkongsian amalan terbaik yang akan membawa manfaat kepada ribuan pekerja di Malaysia dan Bangladesh.
Oleh itu, sesi libat urus ini menandakan satu lagi langkah penting MiSHA dalam mengangkat keselamatan pekerjaan ke peringkat global selaras dengan visi “Prevention Is Our Culture.”

