Lensa Malaysia Dinobatkan Pemenang Anugerah Pena Emas MiSHA 2025

PUTRAJAYA, 23 Januari 2026 – Ketua Editor Kumpulan Lensa Malaysia, Noor Fazrina Noor Kamal, telah dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Pena Emas MiSHA 2025 pada Malam Anugerah MiSHA ASIA Awards on OSH Principles of Prevention (OSHPoP) 2025 yang berlangsung penuh gemilang di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Majlis berprestij tersebut telah menghimpunkan lebih 70 organisasi merangkumi pelbagai latar belakang industri swasta, badan-badan berkanun serta jabatan Kerajaan, dan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr Dzulkefli Ahmad. Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan MiSHA dalam memperkasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sebagai elemen penting pembangunan negara.

Anugerah Pena Emas MiSHA merupakan pengiktirafan khas kepada pengamal media yang telah memberi sumbangan besar dalam menyebarluaskan maklumat, mendidik masyarakat serta memperkukuh kesedaran nasional mengenai KKP melalui platform media masing-masing. Penerima anugerah ini bukan sahaja melaporkan berita, malah berperanan aktif sebagai pendidik dan agen perubahan dalam membina budaya kerja yang selamat.

Sebagai Ketua Editor Kumpulan Lensa Malaysia, Noor Fazrina Noor Kamal diiktiraf atas komitmen konsisten beliau dalam mengetengahkan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui liputan yang berkesan, berfakta serta berimpak tinggi. Pendekatan editorial yang memberi ruang kepada suara pakar, pengalaman pekerja serta kisah sebenar di lapangan telah berjaya menarik perhatian masyarakat terhadap kepentingan KKP sebagai tanggungjawab bersama.

Dalam kategori yang sama, Anugerah Pena Emas MiSHA 2025 turut dianugerahkan kepada beberapa tokoh media terkemuka negara, antaranya YBRS Tuan Haji Mohd Khir Ngadiron, Pengerusi TV AlHijrah, Puan Farrah Naz binti Abd Karim, Pengarang Urusan Kumpulan Berita Harian/NST/Metro, Datin Paduka Esther Ng Sek Yee, Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group, Encik Kamarudin bin Mape, Pengurus Besar On Air Presentation (OAP) NCA Media Prima, Puan Roslinda binti Abd Majid (DJ Lin), Pengurus Besar Suria FM, Encik Zaiful Ariffin, Executive Editor Astro Awani, Puan Nas Zamimi binti Nasbah, Pengurus Rancangan BERNAMA Radio, Encik Saifuzzaman bin Yusof, Pengarah Radio RTM serta Encik Muhammad Hafeezur Rahman bin Muzamir, Penerbit TV Sarawak.

Menurut Pengerusi MiSHA ASIA Awards on OSH Principles of Prevention (OSHPoP) 2025, Ts. Abd Mutalib bin Abd Gapar, peranan media amat signifikan dalam memartabatkan aspek KKP di kalangan warga pekerja dan masyarakat umum.

“Media memainkan peranan yang sangat penting sebagai pemangkin kesedaran KKP. Melalui laporan yang beretika, berinformasi dan berterusan, media mampu membentuk minda serta sikap warga pekerja untuk lebih menghargai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Anugerah Pena Emas MiSHA diwujudkan sebagai penghargaan kepada pengamal media yang telah menjadikan isu KKP sebagai agenda penting, seterusnya menyumbang secara langsung kepada pembentukan budaya kerja yang lebih selamat dan berdaya tahan di Malaysia.

Pengiktirafan terhadap Noor Fazrina Noor Kamal dan para penerima lain pada tahun ini membuktikan bahawa media bukan sekadar penyampai maklumat, malah merupakan rakan strategik dalam usaha nasional memperkukuh keselamatan dan kesihatan pekerjaan demi kesejahteraan semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *