
KUALA LUMPUR, 5 Okt — Kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla akhirnya telah dibebaskan dan kini dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Istanbul, sebelum kembali ke tanah air dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), para sukarelawan tersebut terdiri daripada doktor, wartawan dan aktivis kemanusiaan yang membawa ubat-ubatan, makanan, kelengkapan bayi serta pelbagai bentuk bantuan untuk rakyat Gaza yang terjejas akibat konflik berpanjangan. Namun, mereka terpaksa berdepan ancaman, intimidasi dan penahanan secara tidak sah oleh pihak berkuasa Israel sepanjang misi tersebut dijalankan.
“Walaupun mereka hanyalah insan biasa dengan niat murni membantu yang memerlukan, namun keberanian mereka menghadapi risiko ini amat luar biasa. Pengalaman yang dilalui pastinya mencemaskan dan meninggalkan kesan trauma yang mendalam,” menurut kenyataan itu.
KKM turut memaklumkan bahawa sebaik pulang ke Malaysia, semua sukarelawan akan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh, termasuk rawatan perubatan, sokongan psikososial dan pemulihan trauma melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH). Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan maruah para sukarelawan terus terpelihara.
“Kami menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas pembebasan mereka dan berdiri teguh bersama semua sukarelawan yang berjuang atas dasar kemanusiaan. Malaysia akan terus komited dalam solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin,” tambah kenyataan itu.
Perjuangan mereka menjadi lambang keberanian dan keikhlasan rakyat Malaysia dalam memperjuangkan kemanusiaan sejagat, sekaligus memperkukuh prinsip #MalaysiaMADANI yang menekankan nilai kasih sayang dan keprihatinan sejagat.

