Identiti Malaysia Dijulang di Pentas Asian Hip Hop Connection

KUALA LUMPUR: Suasana penuh semangat patriotik tercipta di Jepun apabila dua artis hip hop terkenal tanah air, Joe Flizzow dan SonaOne, mengangkat Jalur Gemilang ketika membuat persembahan di pentas Asian Hip Hop Connection yang berlangsung di Aichi Sky Expo, Tokoname, semalam.

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Joe berkongsi sebuah video yang memaparkan dirinya bersama SonaOne berjalan menuju ke pentas utama sambil mengibarkan bendera Malaysia dan melaungkan kata keramat “Merdeka”.

Aksi penuh simbolik itu disambut dengan sorakan meriah daripada ribuan penonton, menjadikan persembahan mereka lebih bermakna apatah lagi bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68.

Klip tersebut kemudiannya tular di media sosial, dengan ramai peminat memuji keberanian serta kebanggaan kedua-dua penyanyi itu kerana mengangkat identiti negara di pentas antarabangsa.

Pada acara tahunan berprestij itu, Joe dan SonaOne turut mempersembahkan beberapa lagu popular mereka, sekali gus menghiburkan para peminat yang hadir dari pelbagai negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *