Islamabad – Kerajaan Arab Saudi telah mengambil langkah menggantung sementara pengeluaran visa ke atas 14 buah negara, termasuk Pakistan, menjelang ketibaan musim haji tahun ini.
Menurut laporan yang dipetik oleh The News, sekatan ini melibatkan permohonan visa umrah, visa perniagaan serta visa lawatan keluarga. Sekatan berkenaan dijangka berakhir sekitar pertengahan bulan Jun. Sumber diplomatik turut menyatakan bahawa pemegang visa umrah hanya dibenarkan memasuki negara itu sehingga 13 April sahaja.
Negara lain yang turut terkesan oleh sekatan ini termasuk India, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iraq, Nigeria, Jordan, Algeria, Sudan, Ethiopia, Tunisia dan Yaman.
Menurut laporan Dhaka Tribune, Kementerian Luar Arab Saudi menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan mengawal aliran masuk pelawat semasa musim haji serta memastikan keselamatan dan kestabilan sepanjang tempoh ibadah berkenaan. Pihak berkuasa turut menasihatkan pemohon visa agar mematuhi peraturan baharu ini bagi mengelakkan sebarang penalti. Mereka yang didapati tinggal melebihi tempoh sah atau berada secara haram berkemungkinan akan diharamkan daripada memasuki negara itu untuk tempoh lima tahun.
Antara punca utama sekatan ini adalah kebimbangan terhadap penyalahgunaan visa bagi menunaikan haji tanpa permit rasmi. Kejadian musim lalu menunjukkan terdapat individu yang memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelbagai tujuan tetapi tinggal lebih lama secara tidak sah untuk menunaikan ibadah haji.
Situasi sebegini bukan sahaja menambah kesesakan, malah menimbulkan risiko keselamatan awam. Tambahan pula, terdapat juga pelawat yang menggunakan visa lawatan atau perniagaan tetapi bekerja secara tidak sah di negara itu, sekali gus mengganggu kestabilan pasaran pekerjaan tempatan.



