APM IKTIRAF KEPERKASAAN MiSHA MELALUI PENUBUHAN CDA-ARD, PERKUKUH KHIDMAT NASIHAT KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (KKP)

SHAH ALAM, 29 Sept — Malaysian Industrial Safety and Health Association (MiSHA) kini berdaftar secara rasmi di bawah Civil Defence Auxiliary (CDA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi kluster CDA01 – Advisory, Research & Development (R&D) & Governance, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih strategik dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), pengurusan risiko serta pembangunan tadbir urus keselamatan.

Penyerahan Sijil Perakuan Pendaftaran Civil Defence Auxiliary (CDA) kepada MiSHA telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Pj. (PA) Ghazali bin Abd Rahman, dengan diiringi Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor, YS Kol. (PA) Fazlisyah bin Muslim bersempena dengan Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam Selangor.

Sijil berkenaan telah diterima bagi pihak MiSHA oleh Mejar Bersekutu (PA) Ts. Abd Mutalib Abd Gapar.

Pendaftaran MiSHA di bawah CDA-ARD menyediakan platform rasmi untuk persatuan itu menyalurkan kepakaran profesional dan industri kepada APM, khususnya dalam bidang keselamatan dan Kesihatan pekerjaan.  APM menetapkan CDA01 sebagai kluster khusus bagi bidang tersebut dalam struktur 12 kluster kepakaran CDA.

Menurut APM, CDA diwujudkan bagi membolehkan organisasi kerajaan, bukan kerajaan serta individu yang mempunyai kompetensi tertentu menyumbang melalui bantuan latihan, bantuan kepakaran dan bantuan pelbagai kepada APM serta masyarakat, selaras dengan peranan APM dalam kesiapsiagaan awam, pengurusan bencana dan perkhidmatan kecemasan negara.

Melalui CDA-ARD ini, antara bidang kepakaran yang boleh disalurkan MiSHA termasuk khidmat nasihat KKP dan pengurusan risiko operasi, pembangunan HIRARC, prosedur kerja selamat dan kawalan risiko, pembangunan standard, garis panduan serta sistem tadbir urus KKP serta pembangunan sistem audit, pemantauan prestasi dan indikator KKP di APM.

MiSHA juga berpotensi menyumbang kepakaran dalam penyiasatan insiden dan analisis, pembangunan budaya dan kepimpinan keselamatan, pembangunan kompetensi dan kandungan teknikal KKP, keselamatan pembinaan dan kejuruteraan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan industri seperti insiden bahan kimia, kebakaran industri, keruntuhan struktur, ruang terkurung dan insiden berisiko tinggi.

Selain itu, aspek risiko psikososial, pengurusan keletihan, tekanan haba, pendedahan kepada asap atau bahan berbahaya serta keselamatan dan kesejahteraan anggota selepas operasi kecemasan turut antara bidang yang boleh diteroka secara bersama melalui kepakaran profesional yang bersesuaian.

Pendekatan tersebut membolehkan MiSHA berfungsi sebagai rakan kepakaran industri kepada APM dalam bidang KKP, pengurusan risiko, R&D dan tadbir urus.

Kerjasama menerusi CDA-ARD juga berpotensi menjadi jambatan strategik antara APM dan sektor industri kerana MiSHA mempunyai rangkaian profesional daripada pelbagai sektor termasuk pembinaan, kejuruteraan, minyak dan gas, pembuatan serta bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Antara inisiatif yang boleh diteroka pada masa hadapan ialah pembangunan kerangka keselamatan dan kesihatan pekerjaan khusus bagi anggota serta petugas respons kecemasan, termasuk elemen penilaian risiko, PPE, kompetensi, keselamatan operasi, dan pelaporan insiden.

Pendaftaran ini sekali gus memperkukuh peluang kerjasama antara APM dan MiSHA dalam menggabungkan kepakaran pertahanan awam dengan pengalaman industri serta profesional KKP, ke arah meningkatkan tahap kesiapsiagaan, keselamatan anggota dan ketahanan pengurusan kecemasan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *