
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT), juara Liga Super 11 musim berturut-turut, mengumumkan pemain tengah Sepanyol, Ager Aketxe, sebagai rekrut terbaharu mereka.
Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan rasmi kelab di laman Facebook, hari ini. Menariknya, proses perpindahan Aketxe dari Real Zaragoza berjaya dimuktamadkan hanya sejam sebelum penutupan rasmi jendela pendaftaran pertama Liga Malaysia pada tengah malam tadi.
“Dari Sepanyol ke JDT. Selamat datang ke ‘Home of the Southern Tigers’, Ager! Kami mengesahkan perpindahan pemain tengah ini dengan Real Zaragoza sejam sebelum jendela perpindahan ditutup malam tadi,” menurut kenyataan JDT.
Sebelum itu, Real Zaragoza sendiri telah memaklumkan bahawa mereka mencapai persetujuan dengan kelab Malaysia tersebut bagi pemindahan pemain berusia 31 tahun berkenaan.
Aketxe yang menyertai Zaragoza pada musim lalu dari SD Eibar tampil dalam 38 perlawanan, menjaringkan dua gol dan mencatat tiga bantuan jaringan. Pihak kelab Sepanyol itu turut mengucapkan penghargaan atas profesionalismenya serta mendoakan kejayaan dalam fasa baharu kariernya di Malaysia.
Ketika ini, skuad bimbingan Xisco Muñoz itu berada di puncak carta Liga Super selepas mengekalkan rekod bersih dalam empat perlawanan awal. Mereka juga memperlihatkan prestasi cemerlang di pentas lain, termasuk menewaskan UM Damansara United 5-0 pada pusingan pertama 16 pasukan Piala FA serta mencatat kemenangan 3-1 ke atas Lion City Sailors dari Singapura pada aksi sulung Kejuaraan Kelab ASEAN.


