MiSHA Jalin Kerjasama Dengan Gadang Engineering Jayakan Program SHERO In School

Bentong, 9 September – Usaha memperkukuh kesedaran tentang keselamatan, kesihatan dan penjagaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda terus diperkasakan apabila Malaysian Industrial Safety and Health Association (MiSHA) menjalin kerjasama strategik dengan Gadang Engineering (M) Sdn Bhd menerusi penganjuran Program “SHERO in School” di Sekolah Kebangsaan Janda Baik, Bentong.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Young Syefura Othman, yang menyatakan penghargaan terhadap usaha bersama ini kerana berjaya membawa mesej keselamatan dan kelestarian ke peringkat akar umbi.

“Inisiatif sebegini amat digalakkan kerana dapat menanamkan kesedaran sejak kecil bahawa keselamatan, kesihatan dan penjagaan alam sekitar adalah asas kehidupan yang perlu diamalkan setiap hari,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.

Kolaborasi Pelbagai Pihak

Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara pihak industri, sekolah dan agensi kerajaan. Selain MiSHA dan Gadang Engineering, program turut disokong oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang, PERKESO Bentong dan SWCorp Bentong. Sinergi ini membuktikan komitmen semua pihak dalam mendekatkan nilai keselamatan dan kesihatan kepada masyarakat, khususnya murid sekolah rendah.

Guru-guru SK Janda Baik menyatakan rasa teruja dengan penganjuran program ini kerana ia berjaya menarik perhatian murid-murid melalui pendekatan interaktif seperti demonstrasi keselamatan, ceramah ringkas, kuiz, dan aktiviti berpasukan. Kanak-kanak bukan sahaja diberi penerangan mengenai bahaya di sekeliling mereka, malah turut dilatih untuk mengamalkan sikap prihatin terhadap kebersihan dan penjagaan alam sekitar.

Konsistensi MiSHA Sejak 2013

Menurut Timbalan Presiden MiSHA, Ts. Abd Mutalib Bin Abd Gapar, persatuan itu telah lama berkecimpung dalam program kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah sejak 2013 lagi.

“MiSHA secara konsisten melaksanakan program kesedaran KKP di sekolah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Tahun ini, beberapa sekolah telah dipilih serta dinilai untuk diberi pengiktirafan dalam aspek kecemerlangan KKP di sekolah sempena MiSHA Asia Excellence Awards on OSH Principles of Prevention 2025 yang bakal dianjurkan pada tahun ini,” katanya.

Beliau menegaskan, pengiktirafan itu bukan sahaja sebagai penghargaan kepada sekolah yang berjaya membudayakan aspek keselamatan, kesihatan dan penjagaan alam sekitar, tetapi juga sebagai dorongan kepada sekolah-sekolah lain untuk sama-sama mencontohi inisiatif tersebut.

Membina Generasi Prihatin

Program SHERO in School dilihat sebagai satu langkah penting dalam mendidik generasi muda agar lebih peka terhadap risiko keselamatan dan kepentingan menjaga kesihatan diri serta persekitaran. Menurut penganjur, pendekatan pendidikan keselamatan pada peringkat awal dapat membina budaya positif yang kekal sehingga dewasa, seterusnya melahirkan generasi pekerja dan masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

Antara mesej utama yang diketengahkan ialah pentingnya sikap berwaspada ketika berada di rumah, sekolah mahupun di jalan raya. Murid-murid juga diberi pendedahan mengenai tanggungjawab menjaga alam sekitar, termasuk mengamalkan amalan kitar semula dan mengurangkan sisa plastik.

Harapan Untuk Masa Depan

Pihak MiSHA menjelaskan bahawa program seperti ini akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah di seluruh negara, selaras dengan objektif persatuan untuk menyemai budaya keselamatan dan kesihatan secara menyeluruh. Inisiatif ini juga seiring dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh budaya Prevention First dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, penganjur berharap kerjasama antara industri, sekolah dan agensi kerajaan dapat menjadi model rujukan untuk program-program seumpamanya pada masa hadapan. Dengan sokongan berterusan, usaha murni ini diyakini mampu melahirkan masyarakat yang lebih berdisiplin, sihat dan peka terhadap isu-isu keselamatan serta kelestarian alam sekitar.

Penghargaan Kepada Penganjur

YB Young Shefura turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Gadang Engineering, MiSHA dan semua agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini.

“Tahniah di atas penganjuran dan terima kasih kepada semua yang menjayakan program hari ini. Semoga inisiatif ini menjadi contoh kepada lebih banyak pihak untuk tampil bersama-sama membina masyarakat yang lebih selamat, sihat dan prihatin terhadap alam sekitar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *