📰 Lensa Malaysia | Rencana Khas
Pancing Iman : Realiti Keji Di Sebalik Industri Derma Era Media Sosial
Oleh: Noor Fazrina Kamal
SAMBIL berehat selepas penat bekerja, seorang wanita muda ligat menghasut skrin telefonnya. Tiba-tiba, jarinya terhenti pada satu video yang meruntun jiwa. Di skrin, seorang lelaki berwajah tenang dan berkopiah sedang teresak-esak di hadapan sebuah pondok usang, mendakwa itulah ‘syurga’ buat puluhan anak yatim yang kelaparan.
Tanpa berfikir panjang, dengan hanya beberapa klik di aplikasi perbankan, RM500 berpindah milik. Dia tersenyum, menyangka satu saham akhirat telah dibeli. Namun, di sebalik tabir digital itu, dia tidak sedar bahawa air mata yang dilihatnya hanyalah skrip, dan wang titisan peluhnya mungkin sedang membiayai kemewahan hidup sang pelakon di balik topeng agama.
Di satu sudut pangsapuri yang sunyi, seorang pesara berusia 57 tahun duduk dengan mata yang berkaca. Di tangannya, sebuah telefon pintar memaparkan wajah seorang lelaki muda berkopiah. Lelaki itu sedang meriba merayu demi masa depan anak yatim dalam jagaannya.
Tanpa ragu, pesara itu menekan butang transfer, RM3,000, hampir separuh daripada simpanan kecemasannya, berpindah ke akaun rumah kebajikan milik seorang ustaz.
Pahala menderma mungkin sudah tertulis untuknya, tapi siapa sangka tindakannya itu hanya memberi kesenangan yang tidak sepatutnya kepada seorang yang patut memegang amanah dengan sebaiknya.
Kisah ini bukan sebuah cereka. Ia adalah potret ngeri realiti hari ini:
Apabila air mata dijadikan komoditi, dan iman dijadikan umpan.
Topeng Digital dan Kepercayaan Yang Diperkosa
Media sosial telah mengubah landskap kebajikan menjadi sebuah panggung sandiwara. Jika dahulu sedekah disalurkan melalui tabung masjid yang diaudit, kini ia mengalir deras ke akaun individu hanya bersandarkan pautan di bio TikTok.
Kita sedang mendepani fenomena Charity Influencer Economy. Di celah-celah kemudahan ini, lahir golongan oportunis yang faham benar psikologi rakyat Malaysia: Sebut sahaja nama Tuhan, tunjuk sedikit penderitaan, maka lunturlah logik akal.
Isu penyelewengan dana awam bukan lagi sekadar khabar angin. Siasatan SPRM melibatkan individu berprofil tinggi beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan satu hakikat pahit, imej warak di skrin telefon bukanlah jaminan tadbir urus yang amanah. Imej boleh dibina dengan ring-light dan suntingan video, tetapi integriti hanya boleh dibuktikan melalui audit.
Akaun Peribadi: Lubang Hitam Amanah
Pihak berkuasa agama, seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), berkali-kali menjeritkan amaran tentang kutipan tanpa tauliah. Modus operandi mereka hampir serupa:
Menggunakan nama sekolah agama atau tahfiz yang kadang-kala hanya wujud di atas kertas.
Memaksa penderma menggunakan akaun peribadi atas alasan mudah dan cepat.
Menggunakan naratif urgency (mendesak), seolah-olah jika tidak diderma hari ini, saham itu akan hilang.
Namun, persoalannya: Ke mana perginya lebihan dana? Adakah ia membina dinding asrama, atau ia membiayai gaya hidup mewah sang pengutip yang tiba-tiba bertukar kereta dan citarasa
Jerat Emosi: Mengapa Kita Masih Terpedaya?
Pakar tingkah laku menjelaskan bahawa apabila unsur agama digabungkan dengan kisah tragis kanak-kanak sakit, otak manusia cenderung memadamkan sistem semak dan imbang. Kita memberi kerana kita mahu merasa selamat di akhirat.
Para ‘Parasit’ ini faham benar taktik ini. Mereka mewujudkan rasa tanggungjawab moral yang palsu. Mereka tidak menjual projek, mereka menjual perasaan. Penderma dibuai dengan doa-doa khusus yang dibalas secara peribadi, membuatkan mereka rasa istimewa, walhal mereka hanyalah mangsa dalam rantaian manipulasi.
Antara Ibadah dan Kebijaksanaan
Institusi rasmi seperti Lembaga Zakat Selangor wujud dengan sistem, ada audit, ada agihan berstruktur, dan ada pemantauan asnaf. Namun, segelintir masyarakat kita lebih gemar memilih jalan pintas dengan memberi kepada individu viral kerana ia terasa lebih peribadi.
Kita perlu sedar: Memberi tanpa berfikir bukanlah tanda keikhlasan yang tinggi, tetapi ia mungkin satu bentuk kecuaian yang membuka ruang kepada jenayah.
Seorang penderma yang menjadi mangsa merintih, “Saya bukan kesalkan duit itu, saya kesalkan kepercayaan saya yang dikhianati atas nama agama.” Inilah kerosakan paling besar yang dilakukan oleh “penunggang agama” ini, mereka membunuh rasa percaya masyarakat terhadap kebaikan yang tulus.
Jadilah Permata, Bukan Mangsa
Derma itu ibadah, tetapi kebijaksanaan dalam memberi adalah tanggung jawab. Jangan biarkan iman anda dipancing oleh imej warak yang dijual beli.
Sebelum menekan butang hantar, tanyalah pada diri: Adakah ini akaun organisasi berdaftar? Adakah laporan agihannya telus? Dan yang paling penting adakah jiran sebelah rumah kita sudah cukup makan sebelum kita menghantar ribuan ringgit kepada orang asing yang hanya kita kenal melalui skrin telefon?
Dalam dunia yang penuh dengan persepsi, kebenaran sering tersembunyi di sebalik kopiah dan air mata palsu. Jadilah bijak, kerana syurga tidak dijual oleh para penipu.
Lensa Malaysia
Fakta. Tepat. Tanpa Tapisan

