Oleh: Noor Fazrina Kamal

KUALA LUMPUR – Di saat tumpuan dunia sering terarah kepada kelesuan ekonomi China, sebuah gergasi di Asia Selatan sedang memecah kesunyian dengan langkah yang cukup agresif. India, yang kini memegang status sebagai ekonomi utama dengan pertumbuhan terpantas di dunia, bukan lagi sekadar pesaing serantau, malah kini muncul sebagai “talian hayat” strategik yang kritikal buat Malaysia.
Susulan lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia pada 7 dan 8 Februari baru-baru ini, naratif hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan New Delhi kini memasuki fasa yang lebih mendalam, merangkumi aspek keselamatan maritim sehinggalah kepada sekuriti makanan di meja hidangan rakyat.
Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, menyifatkan peralihan ini sebagai satu keperluan mendesak buat Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik global.
“Realiti imbangan kuasa pada tahun 2026 menunjukkan bahawa walaupun China kekal besar dan berpengaruh, ia juga sedang berdepan kelompongan struktur dalaman dan profil risiko yang semakin meningkat,” ujar beliau ketika ditemubual. Menurutnya, jurang pertumbuhan antara kedua-dua gergasi ini semakin jelas apabila India kini berada di landasan untuk mengatasi Jepun dan Jerman dalam dekad ini.
Kekuatan utama India, menurut Collins, terletak pada “dividen demografi” yang tidak dimiliki oleh negara maju yang lain. Dengan umur median penduduk di bawah 30 tahun, India mempunyai bekalan tenaga kerja muda yang mampan sehingga tahun 2040-an. Hal ini berbeza dengan China yang mula mengalami penurunan populasi usia bekerja. Beliau menegaskan bahawa demografi inilah yang menentukan had maksimum kuasa sesebuah negara, dan “had India masih terus meningkat, manakala had China semakin mendatar.”
Bagi rakyat Malaysia, kebangkitan India ini membawa impak langsung kepada kelangsungan hidup. Collins menarik perhatian kepada isu sekuriti makanan, di mana India sebelum ini pernah memberikan pengecualian khas bagi eksport beras ke Malaysia di sebalik sekatan global. Selain itu, India kekal sebagai nadi utama bagi pengusaha sawit tempatan sebagai pengimport terbesar minyak sawit Malaysia.
“Kebangkitan India bukan sekadar kisah ekonomi, ia juga merupakan realiti kapasiti kuasa baharu yang menawarkan kuasa pengimbang tanpa konfrontasi,” jelas Collins lagi. Beliau merujuk kepada dasar Act East yang dipelopori Modi, yang kini meletakkan ASEAN dan Selat Melaka sebagai zon kepentingan strategik India.
Dalam aspek keselamatan, India kini bukan lagi sekadar pemerhati. Dengan perbelanjaan pertahanan mencecah USD 90 bilion setahun dan pemilikan kapal pengangkut pesawat buatan tempatan, India bertindak sebagai “penjaga” laluan laut yang kritikal. Collins melihat kehadiran tentera laut India sebagai jaminan bahawa tiada kuasa tunggal yang boleh mendominasi perairan serantau, sekali gus memastikan undang-undang antarabangsa terus dihormati di perairan kita.
Melangkah ke hadapan, integrasi teknologi dan ekonomi digital antara kedua-dua negara dijangka menjadi pemacu utama. Dengan lebih 200,000 syarikat pemula di India, Malaysia mempunyai peluang luas dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), dan fintech.
Hubungan ini, menurut Collins, adalah sebuah perkongsian yang dibina atas kepercayaan dan aspirasi masa depan bersama. Lawatan Modi bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan titik perubahan yang mengukuhkan autonomi jangka panjang Malaysia dalam peta dunia yang kian mencabar. – Lensa Malaysia

