
PASIR PUTEH, 1 Disember 2025 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Industri Biosumber dan Makanan memeterai satu Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) bersama syarikat MSR Growth Sdn. Bhd. dalam usaha memperkukuh pembangunan teknologi pertanian bio-organik di negara ini.
Majlis menandatangani LOI itu disempurnakan oleh Dekan Fakulti Industri Biosumber dan Makanan UniSZA, Prof. Dr. Hafizan Juahir, bersama Pengarah MSR Growth Sdn. Bhd., Muhammad Saifullah Ramli, dengan disaksikan delegasi kedua-dua pihak.

Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada penyelidikan mikrobiologi pertanian, pembangunan sistem pertanian mampan, pemindahan teknologi, latihan industri pelajar serta penglibatan komuniti petani dalam inovasi pertanian bio-organik.
Menurut Prof. Dr. Hafizan, pemeteraian LOI tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan antara akademik dan industri bagi memacu inovasi, pembangunan teknologi serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan dalam bidang agroindustri. Beliau berkata, antara skop kerjasama termasuk penyelidikan bersama, penempatan pelajar untuk latihan industri, penganjuran bengkel dan seminar, serta perkhidmatan rundingan kepakaran.
“Kerjasama ini merupakan peluang yang sangat baik kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan membuka potensi besar untuk pembangunan bersama pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Sementara itu, Muhammad Saifullah berkata, pemeteraian LOI ini memberi peluang kepada MSR Growth untuk memanfaatkan kepakaran penyelidikan dan kemudahan makmal yang dimiliki UniSZA dalam usaha membangunkan produk pertanian yang lebih selamat dan mesra alam.
Beliau turut menjelaskan bahawa kebergantungan petani terhadap input kimia menjadi punca peningkatan kos, kemerosotan kesuburan tanah serta ketidakstabilan hasil pertanian. Justeru, MSR Growth membangunkan produk rawatan tanah berasaskan bahan organik dengan formulasi probiotik dan nutrisi tanaman sebagai alternatif yang lebih selamat.
Tempoh kerjasama LOI ini ditetapkan selama dua tahun dan dijangka mampu merintis model pertanian regeneratif yang boleh dijadikan contoh kepada sektor pertanian nasional dalam mendepani cabaran keselamatan makanan, kemerosotan tanah dan perubahan iklim.
Kerjasama ini juga dilihat seiring dengan dasar kerajaan dalam memacu pertanian lestari melalui penggunaan input mesra alam serta teknologi hijau yang mampu menyuburkan semula tanah dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan kimia sintetik, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara.


