
SEPANG: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang melakar sejarah dengan meraih gelaran juara dunia di Paris, disambut bak wira sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.
Pasangan yang kini berada di ranking keempat dunia itu mendarat dengan selamat pada jam 5.51 pagi menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH21, sambil tersenyum dan melambaikan tangan kepada para penyokong yang hadir.
Turut bersama dalam penerbangan itu ialah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, yang menamatkan kempen di Paris sebagai naib juara dunia.
Rombongan Malaysia diketuai jurulatih beregu campuran, Nova Widianto, serta jurulatih beregu wanita, Rosman Razak. Kehadiran mereka disambut meriah oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts Dr K Nagulendran, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin dan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam. Turut sama meraikan kepulangan atlet negara ialah ibu bapa Tang Jie dan Ee Wei, selain bapa kepada Thinaah, S Muralitharan, serta peminat tegar badminton tanah air.
Kelmarin, Tang Jie-Ee Wei menghadiahkan detik bersejarah buat Malaysia bersempena sambutan Hari Kemerdekaan selepas menundukkan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam tempoh hanya 40 minit di pentas final yang berlangsung di Adidas Arena.
Dengan laungan “Merdeka!” bergema di venue tersebut, Ee Wei tampil menguasai aksi di jaring manakala Tang Jie mengawal permainan di bahagian belakang gelanggang, sekali gus menjadikan mereka beregu campuran pertama Malaysia yang bergelar juara dunia.
Sementara itu, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking kedua dunia, terpaksa berpuas hati selaku naib juara selepas tewas tipis kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dalam perlawanan tiga set yang berlarutan selama 83 minit dengan keputusan 14-21, 22-20, 17-21.


