Guru Wanita Ditahan Disyaki Dera Kanak-Kanak Dua Tahun di TASKA

SHAH ALAM: Seorang guru wanita ditahan pihak polis kerana dipercayai terlibat dalam kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Bandar Rimbayu, Kuala Langat, pada 18 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata penahanan itu dibuat selepas ibu mangsa membuat laporan pada jam 9 malam, 24 Ogos, sebelum guru berusia 38 tahun berkenaan ditahan pada hari yang sama.

Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 6 petang apabila guru terbabit didakwa menarik rambut kanak-kanak itu sebelum mengheretnya dari kelas ke bilik air.

“Suspek juga dipercayai memukul kepala mangsa menggunakan tudung saji kecil dan botol air. Ibu mangsa kemudian berjaya mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berkenaan dan pada 22 Ogos lalu, beliau meneliti semula rakaman itu sebelum mendapati kejadian benar-benar berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rakaman CCTV turut menunjukkan guru berkenaan menolak dan menyeret mangsa menggunakan kaki dari ruang kelas menuju ke bilik air.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai tempoh tahanan reman lima hari.

“Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *