Dari Songkhla ke Dannok: Cubaan Lelaki Malaysia Seludup Senjata Gagal

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas didapati membawa dua laras raifal M4 bersama lebih 450 butir peluru di dalam kereta yang dipandunya di Sadao, Songkhla, kelmarin.

Menurut laporan media tempatan, suspek berusia sekitar 40-an itu ditahan kira-kira jam 5.35 petang ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Kanchanawanit berhampiran Pondok Polis Ban Dan Nok, Samnak Kham.

Hasil pemeriksaan terhadap kereta jenis Kia Optima bernombor pendaftaran Malaysia, polis menemui dua raifal M4, 300 butir peluru 5.56 milimeter, 100 butir peluru kaliber .45, 50 butir peluru kaliber 9mm serta tujuh kelopak peluru.

“Siasatan awal menunjukkan suspek mengaku menerima upah daripada seorang individu untuk menyeludup senjata api ke Malaysia. Dia mengambil senjata berkenaan di Songkhla dan diarahkan bermalam di Dannok sebelum dibawa masuk ke Malaysia, namun berjaya ditahan lebih awal,” lapor media berkenaan.

Selain itu, siasatan turut mendedahkan lelaki tersebut mempunyai dua rekod sabitan lampau di Malaysia berkaitan kes serangan dan pengedaran dadah, malah kerap berulang-alik ke negara jiran itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Thailand mengenai penahanan berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media di Thailand dan sedang menunggu pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa negara tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *