
Cristiano Ronaldo sekali lagi terpaksa melupakan impian untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara AFC Elite selepas pasukannya, Al Nassr, tersingkir di peringkat separuh akhir musim 2024/2025.
Walaupun berjaya mara ke kelompok empat terbaik kejohanan, Al Nassr tidak mampu mengekang asakan kelab dari Jepun, Kawasaki Frontale, yang tampil cemerlang dan menewaskan mereka 3-2 dalam aksi separuh akhir yang sengit.
Sebelum ini, Al Nassr pernah mencatat kemenangan besar 4-1 menentang lawan yang sama di peringkat awal, namun di peringkat separuh akhir, prestasi mereka merosot meskipun dibarisi nama besar seperti Cristiano Ronaldo, Sadio Mane dan Jhon Duran.
Perlawanan bermula dengan gol awal oleh Tatsuya Ito pada minit ke-10 menerusi sepakan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol Bento. Al Nassr kemudian menyamakan kedudukan menerusi jaringan Sadio Mane pada minit ke-28 selepas menerima hantaran Nawaf Al Boushal.
Namun, Kawasaki kembali di hadapan sebelum tamat separuh masa pertama apabila Yuto Ozeki menjaringkan gol kedua pasukannya. Pada minit ke-76, pemain gantian Akihiro Ienaga menjadikan kedudukan 3-1 hasil kerjasama dengan Erison.

Al Nassr cuba bangkit dan Ayman Yahya menjaringkan gol kedua mereka pada minit ke-87, tetapi usaha itu tidak cukup untuk mengubah keputusan perlawanan. Kawasaki Frontale berjaya mengekalkan kelebihan mereka hingga wisel penamat dan layak ke perlawanan akhir.
Kekecewaan jelas terpancar buat Ronaldo yang masih menanti detik untuk merangkul gelaran tertinggi kelab Asia itu. Dalam satu kenyataan di media sosial, bintang Portugal itu meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian pasukannya dan menyatakan bahawa “kadangkala, mimpi itu perlu menunggu”.
“Saya sangat bangga dengan pasukan ini dan segala usaha yang telah kami curahkan. Terima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa bersama kami dalam setiap langkah. Sokongan anda sangat bermakna,” kata Ronaldo dalam hantaran tersebut.
Kawasaki Frontale kini akan berdepan satu lagi wakil Arab Saudi, Al Ahli, yang menewaskan Al Hilal 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.



One Response
ronaldo adalah pemain nombor satu dunia