
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa United Kingdom (UK) bagi menyiasat aset milik Tun Dr Mahathir Mohamad, ahli keluarga serta individu berkaitan di luar negara.
Menurut sumber, beberapa pertemuan telah diadakan sebelum ini dengan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), sebuah unit di bawah National Crime Agency (NCA) yang berpusat di London, khusus berhubung kes berkenaan.
“SPRM kini menantikan senarai rasmi aset daripada pihak berkuasa UK yang meliputi Kanada, Switzerland, Jepun dan UK. Setelah maklumat lengkap diterima, proses perundangan untuk tindakan penyitaan dan pelucuthakan aset yang dikenal pasti akan dimulakan, sepertimana yang dilaksanakan dalam kes melibatkan Tun Daim Zainuddin,” katanya. Pada Disember 2024, Malaysia melalui SPRM dan UK memeterai Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan kerjasama NCA.
Sumber sama menjelaskan, usaha menjejaki serta memulangkan aset yang dipercayai diseleweng bukan perkara mudah dan lazimnya mengambil masa panjang kerana melibatkan instrumen undang-undang antarabangsa serta koordinasi pelbagai agensi luar negara. “Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan secara telus bagi memastikan aset yang diperoleh secara tidak sah dapat dikembalikan kepada negara,” tambahnya.
Setakat ini, dua orang anak bekas Perdana Menteri itu telah dipanggil untuk membuat pengisytiharan harta di dalam dan luar negara. Tindakan tersebut dibuat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan siasatan terhadap Dr Mahathir masih berjalan dengan fokus semasa tertumpu kepada aset yang dipercayai berada di UK. Pada April tahun lalu, Azam turut menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri itu adalah antara individu yang disiasat berkaitan isu pengisytiharan harta, dan susulan itu kedua-dua anak beliau menerima notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh ditetapkan.
Pada 21 Januari lalu, dilaporkan bahawa berdasarkan pengisytiharan harta kepada SPRM, Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.


