BARU-baru ini, Malaysia dan Thailand telah mencapai persetujuan untuk menyambung semula perkhidmatan kereta api terus yang menghubungkan Bangkok, Padang Besar, dan Butterworth. Inisiatif ini merupakan langkah strategik untuk merancakkan pelancongan serantau serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara.
Perkhidmatan yang pernah dihentikan pada tahun 2016 itu dijangka kembali beroperasi seawal tahun 2025, dengan fasa percubaan selama enam bulan. Laluan kereta api ini akan bermula dari Stesen Keretapi Bangkok, melalui Padang Besar di sempadan Malaysia-Thailand, sebelum berakhir di Butterworth, Pulau Pinang.
Langkah ini dilihat mampu memudahkan pergerakan pelancong dan peniaga antara dua negara, sekaligus menyediakan alternatif pengangkutan yang lebih efisien dan selesa. Menurut laporan media tempatan, inisiatif ini akan memperkukuh lagi hubungan dua hala dalam sektor pelancongan dan logistik.
Selain itu, Malaysia juga sedang merancang untuk melanjutkan laluan tren pelancongan “My Sawasdee” dari Hat Yai hingga ke Surat Thani, Thailand. Langkah ini bertujuan memperluaskan pilihan perjalanan bagi rakyat Malaysia yang ingin meneroka lebih jauh ke dalam wilayah Thailand.
Pihak berkuasa menjangkakan bahawa pengenalan semula perkhidmatan ini akan memberi kesan positif yang besar kepada ekonomi tempatan, terutamanya di kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand.
Maklumat lanjut mengenai pelancaran rasmi dan jadual perjalanan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Kementerian Pengangkutan dan agensi kereta api berkaitan.


