Kes Tetak di Triang: Polis Tahan Empat Lagi Suspek

KUANTAN, Sabtu – Polis menahan empat lagi lelaki berusia antara 27 hingga 37 tahun yang disyaki terbabit dalam kes tetak menggunakan senjata tajam di sebuah kedai minum di Triang, Bera pada 29 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kesemua suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera antara 6 hingga 8 April. Dengan penahanan terbaru ini, jumlah tangkapan meningkat kepada lima orang, di mana empat masih ditahan reman manakala seorang dibebaskan atas faktor kesihatan.

Beliau menjelaskan seorang suspek direman dari 7 hingga 10 April, dua lagi direman dari 8 hingga 13 April, manakala tahanan reman terhadap suspek yang ditahan pada 4 April lalu dilanjutkan sehingga 13 April. Polis kini sedang mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Dua suspek dijangka dituduh di mahkamah Isnin ini di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *