Kes Saman Fitnah Tuan Ibrahim – Rafizi Selesai Secara Baik

KUALA LUMPUR: Pertikaian saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Saman itu difailkan pada 17 November 2022 susulan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah berhubung kelulusan beberapa projek, termasuk projek tebatan banjir kepada sebuah syarikat.

Dalam prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill, peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Tuan Ibrahim memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

“Selaras dengan terma yang dipersetujui, pihak plaintif (Tuan Ibrahim) memohon untuk menarik balik saman ini tanpa kebebasan untuk difailkan semula dan tanpa sebarang perintah kos,” katanya. Perkara itu turut disahkan peguam Azhar Arman Ali, yang mewakili Rafizi.

Ekoran itu, Avinder membatalkan saman berkenaan dan melapangkan semua tarikh perbicaraan yang telah dijadualkan sebelum ini. “Mahkamah menghargai kesungguhan kedua-dua pihak dalam mencapai penyelesaian secara damai,” katanya.

Sebelum ini, perbicaraan dijadual berlangsung pada 8 hingga 12 September ini.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Rafizi bersetuju untuk memadam semua hantaran media sosial berkaitan isu berkenaan bagi mengelakkan salah tafsir serta mengelak ia berpanjangan.

“Kenyataan Rafizi sebelum ini bukan bertujuan menumpukan kepada isu penglibatan Tuan Ibrahim dalam projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang diberikan kepada Mangkubumi Sdn Bhd. Justeru, perkara itu tidak lagi berbangkit antara kedua-dua pihak. Sehubungan itu, Tuan Ibrahim bersetuju menarik balik saman sivil ini,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan sama turut menekankan bahawa atas semangat penyelesaian berhemah, kedua-dua pihak bersetuju sebarang salah faham yang timbul wajar diketepikan demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat serta kestabilan politik negara.

Kedua-dua pemimpin politik itu yang hadir pada prosiding hari ini turut dilihat bersalaman sebelum meninggalkan bilik mahkamah.

Dalam tuntutan asal, Tuan Ibrahim mendakwa Rafizi membuat kenyataan fitnah pada dua sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, pada 7 dan 9 November 2022, yang turut disiarkan secara langsung di saluran YouTube milik Rafizi.

Kenyataan tersebut didakwa memberi gambaran bahawa beliau meluluskan projek bernilai RM2 bilion bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat serta projek loji rawatan kumbahan dan paip pembetungan di Kinta dan Petaling Jaya bernilai lebih RM2.3 bilion.

Selain itu, beliau turut dituduh bersekongkol dengan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam penganugerahan projek di bawah Program Jana Wibawa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *