ASEAN Terus Kukuh Hasil Dialog dan Konsensus – Anwar

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kekuatan ASEAN sejak lebih enam dekad bukan hanya terletak pada kepelbagaian, sebaliknya berakar daripada komitmen berterusan terhadap dialog, kerjasama dan konsensus.

Menurut beliau, semangat inilah yang membolehkan ASEAN mengekalkan keamanan serta kestabilan meskipun dunia kini semakin mencabar.

“Secara kebetulan minggu ini saya sempat berhubung dengan beberapa pemimpin ASEAN, sama ada secara langsung atau melalui panggilan telefon. Situasi ini menggambarkan eratnya hubungan yang telah terbina,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Ke-19 Mengenai Jenayah Rentas Sempadan, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Anwar berkata, beliau juga menghubungi Presiden Filipina, Ferdinand Marcos yang kini berada di Kemboja untuk membincangkan isu konflik dengan Thailand, selain berbincang dengan Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin Charnvirakul mengenai kerjasama dua hala serta keselamatan serantau.

“Saya sentiasa menegaskan komitmen terhadap proses damai walaupun terdapat isu sempadan antara Thailand dan Kemboja. Syukur kerana proses tersebut sedang berjalan dan dihormati kedua-dua negara,” katanya.

Beliau menambah, ketika mempengerusikan mesyuarat petang ini, beliau turut menerima panggilan daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

“Hubungan yang rapat ini membuktikan ASEAN memiliki keunikan tersendiri. Saya tidak pasti ada rantau lain yang mampu mencapai tahap kepercayaan bersama sebegini. Justeru, ASEAN mesti mempertahankan kesentralan sebagai prinsip geopolitik utama agar rantau ini kekal menjadi rujukan serta terhindar daripada dominasi kuasa luar,” ujarnya.

Mesyuarat yang dipengerusikan Saifuddin itu menghimpunkan 300 delegasi dari negara anggota ASEAN bagi membincangkan usaha bersama menentang jenayah rentas sempadan. Antara fokus utama termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, pengedaran dadah, jenayah siber, keganasan, pemalsuan kewangan dan penyeludupan senjata api.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *