
Oleh: Aziz Basiran (AB) LULUS (Lepas Usaha Lepas Ujian Sukses)
SESUNGGUHNYA ramai makhluk bernama manusia yang hidupnya nampak sempurna, namun hakikatnya sedang bercelaru dan kebobrokan.
Ada tujuh perkara perlu digarap. Pertama, tidak semua perkara perlu kita respons. Kita tidak diwajibkan membalas semua komen manusia. Kita tidak diwajibkan mengikuti drama dan acuan serta topik mereka. Semakin banyak melayan perkara sia-sia, semakin penat mental kita.

Kedua, jangan pernah memaksa semua manusia supaya faham tentang kita. Keinginan untuk dimengerti oleh semua orang adalah punca tekanan yang boleh menghancurkan. Tak semua hati manusia itu bersih. Ada yang kotor bercampur racun.
Ketiga, tumpukan pada yang boleh kita kawal sahaja. Kita tidak mampu mengawal sikap manusia, perubahan cuaca termasuk masa depan, peperangan, harga minyak dan lain-lain. Kalau tidak cukup wang, tambah pendapatan. Gunakan apa yang kita ada, bakat, kudrat, asalkan boleh menambah pendapatan.
Keempat, menerima hakikat bahawasanya setiap proses memerlukan masa. Tekanan muncul asbab mahu semua perkara dicapai atau didapati secara pantas. Memaksa yang belum sampai ketikanya, boleh menambah kecelaruan. Kecelaruan boleh membiak dengan cepat.
Kelima, tidak mengharap dan menanti validasi dari orang lain. Kalau bahagia bersandarkan berapa banyak pujian manusia, tekanan terus semakin mendalam. Berhenti mengharap tepukan gemuruh setiap kali berjaya buat sesuatu. Berhenti berharap untuk semua orang menyokong kita. Tidak semua orang menyukai kita.
Keenam, tidak terasa hati atau terkesan akan kata-kata negatif manusia. Tidak semua ungkapan atau ayat atau perkataan layak masuk dalam fikiran. Tidak semua perkara perlu dilayan. Sampah ada yang boleh diguna semula. Namun sampah yang toksik, tidak layak kita sentuh.
Ketujuh, ketegasan memelihara batasan dan jati diri. Berani berkata tidak pada waktu yang tepat.
Pilihlah kegembiraan. Jauhi kemarahan. Garap ketenangan, bukan sekadar mengharap tanpa berbuat apa-apa.
Lensa Malaysia
Fakta. Tegas. Tanpa Tapisan