Kehadiran Hegseth dan Trump Simbol Kembalinya Kuasa Amerika

Oleh Collins Chong Yew Keat Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya  

Di Kuala Lumpur minggu ini, Malaysia dan ASEAN mempunyai peluang bersejarah untuk memastikan bahawa Amerika Syarikat kekal terikat dengan keperluan keselamatan dan ekonomi kita.

Lawatan Setiausaha Perang A.S., Pete Hegseth ke Kuala Lumpur bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan mesej jaminan keberadaan A.S. di Indo Pasifik oleh Presiden Trump, memberikan simbol paling meyakinkan bahawa Amerika kekal sebagai sebuah negara Indo-Pasifik dan lebih nekad daripada sebelumnya untuk memastikan rantau yang bebas dan terbuka berasaskan kedaulatan undang-undang.

Langkah paling berani Washington ini mesti segera dimanfaatkan oleh Malaysia dan rantau ini yang selama ini bergelut untuk menentang kuasa-kuasa yang telah melemahkan keluhuran norma antarabangsa berasaskan undang-undang. Peluang ini merupakan detik paling penting dan sistematik bagi rantau ini untuk menerima dan memanfaatkan isyarat baharu yang ditunjukkan oleh Washington.

Hegseth telah menegaskan “komitmen kekal” Amerika Syarikat untuk bekerjasama dengan ASEAN, bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana negara yang sanggup bangkit mempertahankan keamanan sejagat. Kini bola berada di gelanggang ASEAN; kita harus menyambut ikrar ini dan memperkukuh pertahanan kolektif kita melalui falsafah Presiden Trump – Peace through Strength (Keamanan melalui Kekuatan).

Hanya Amerika Menyediakan Jaminan Keselamatan yang Sahih

Tiada kuasa lain yang mempunyai legasi dan kepercayaan sejarah, dan yang paling penting, kekuatan ketenteraan serta kehadiran kuasa armada angkatan laut yang diperlukan untuk menjamin keamanan dan kestabilan di sini.
Tentera laut dan peluru berpandu China berkembang pesat dengan jumlah kapal perang dan senjata nuklear yang semakin meningkat, sementara undang-undang antarabangsa di laut terus dicabuli, mengancam keselamatan maritim, kestabilan dan keamanan rantau, dan menggugat kedaulatan dan kepentingan negara-negara serantau termasuk Malaysia.

Seperti dalam amaran Hegseth, “sebarang cubaan unilateral untuk mengubah status quo di Laut China Selatan melalui kekerasan atau paksaan adalah tidak boleh diterima.”

Satu-satunya cara untuk menangkis pencerobohan dan ancaman sebegini ialah melalui kuasa Amerika yang kukuh dan boleh dipercayai di lapangan.
Amerika Syarikat sahaja yang menyediakan rangkaian pakatan seperti Quad (Jepun, A.S., Australia, India) serta sekutu lain termasuk kesan limpahan daripada NATO yang menawarkan jaminan kestabilan dan imbangan kuasa.

Tiada kuasa Eropah dan tiada pasukan Asia bersatu yang mampu menandingi kekuatan ini. Eropah kekurangan keberadaan kuasa berkekalan untuk memenuhi tuntutan cegah rintang di Asia, dan semakin terancam dan gusar dengan ancaman Rusia di Eropah. Hanya kapal pengangkut pesawat nuklear, jet pejuang halimunan dan roket Space Force Amerika yang benar-benar mempunyai capaian global – kekuatan tiada tandingan ini kini dipertingkatkan lagi oleh Presiden Trump.

Beliau telah menyalurkan lebih US$1 trilion ke dalam sektor ketenteraan (peningkatan 13% dalam perbelanjaan pertahanan) untuk membina “Golden Dome” baharu yang terdiri daripada perisai anti-peluru berpandu dan juga  kapal induk, pemusnah, kapal selam dan senjata hipersonik, membentuk peralatan ketenteraan terbaik dan tercanggih di dunia.

Kekuatan ketenteraan yang tiada tandingan inilah yang mengekalkan keamanan, melalui falsafah Peace through Strength.
Berbeza dengan Beijing, Amerika tidak mempunyai cita-cita wilayah di perairan ASEAN; Washington hanya mencari kestabilan serta komitmen bersama untuk mengekalkan keamanan dan mencegah konflik dan peperangan dan mencegah percubaan untuk melanggar undang-undang antarabangsa.

Kelemahan dan Risiko  “Hedging” ASEAN

Selama bertahun-tahun, Malaysia dan ASEAN kekal dengan strategi hedging, berkecuali dan keseimbangan. Pendekatan lapuk dalam kepompong lama ini kini tidak lagi mencukupi,  ia menjadi usang dan berisiko. Kini masa untuk berfikir secara realistik. China sudah menguji ketahanan dan tindak balas ASEAN, dan langkah hedging ini tidak akan menghentikan atau mencegah risiko konflik.

Seperti yang ditegaskan Hegseth, “tiada sebab untuk mengelak daripada realiti” bahawa peningkatan ketenteraan China menimbulkan ancaman langsung terhadap keamanan serantau. Strategi hedging hanya menangguhkan reality pertembungan – ia tidak menghalang pencerobohan mahupun memberikan jaminan semasa krisis.

Selama berpuluh tahun strategi hedging dan konsep berkecuali tidak membawa kepada pencegahan sebenar terhadap pencerobohan atau pelanggaran undang-undang, malah memburukkan lagi perlumbaan senjata di rantau ini dengan dilema keselamatan yang berterusan.

Sudah tiba masa untuk menamatkan “keseimbangan palsu” dan perangkap utopia cegah rintang serantau dan mengakui hakikat bahawa pencegahan yang berkesan datang daripada kekuatan sebagai cegah rintang berkesan tanpa perlu menggunakannya, dan hanya Amerika yang mampu membekalkan kekuatan itu.

Jurang Ketenteraan ASEAN: Tiada Kuasa Sebenar Tanpa Amerika Syarikat

Dalam semua ukuran, pertahanan ASEAN kekal jauh di bawah tahap keperluan sebenar. Tiada satu pun angkatan tentera Asia Tenggara yang tersenarai antara dua puluh teratas dunia dari segi perbelanjaan.Meskipun digabungkan, bajet pertahanan ASEAN amat kecil berbanding kuasa besar lain. Angka-angka ini amat membimbangkan sekiranya tiada langkah kukuh diambil untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan dan cegah rintang. Sekiranya berlaku krisis Taiwan atau  konflik di Laut China Selatan, ASEAN akan menjadi sasaran mudah, kecuali disokong oleh kuasa Amerika.

Tiada strategi pertahanan kendiri ASEAN yang benar-benar wujud.

Kuasa lain telah cuba mengisi kekosongan ini dengan menggantikan kehadiran Amerika sebagai kuasa konvensional di rantau ini, namun semuanya gagal, dan akan terus gagal. Eropah kekurangan tayangan kuasa di Asia dan lebih menumpukan pada keselamatannya sendiri daripada ancaman Rusia.

Rusia pula terbeban dari segi kewangan dan ketenteraan, terikat dalam perang di Ukraine. Jepun dan Korea memiliki angkatan tentera moden tetapi tidak mampu menayangkan kuasa jauh tanpa Amerika, sementara peranan pertahanan mereka dihadkan oleh limitasi domestik masing-masing. India semakin mendekati rantau ini melalui dasar Act East Policy oleh Perdana Menteri Modi tetapi masih kekurangan capaian dan kekuatan untuk menjamin keberadaan kuasa yang stabil. Oleh itu, hanya Amerika yang mampu menjamin keamanan berasaskan peraturan di sini.

Amerika Menjamin Keselamatan Maritim dan Perdagangan

Di luar persoalan ketenteraan dan senjata, masa depan ASEAN bergantung pada perdagangan dan sumber yang selamat, di mana model berorientasikan eksport dan pergantungan pada keselamatan maritim menjadi tunjang utama masa depan ekonomi rantau ini. Inilah sebab utama mengapa sandaran pertahanan dan keselamatan dengan Amerika amat penting.

Sebanyak 60% perdagangan global melalui laut melalui geografi Asia, dan kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan penghantaran dunia merentasi Laut China Selatan. Sebarang gangguan atau ancaman terhadap laluan ini akan menyebabkan ekonomi ASEAN terkesan serta-merta.

Armada Ketujuh A.S. dan rangkaian sekutu Amerika memastikan laluan perdagangan ini kekal terbuka, manakala Indo-Pasifik yang stabil di bawah perlindungan Amerika menjamin keselamatan pelabuhan serta eksport Malaysia kekal selamat. Yang paling penting, Amerika memberikan cegah rintang menyeluruh terhadap sebarang cubaan melanggar undang-undang antarabangsa dan melindungi kedaulatan serta kepentingan aset minyak dan gas negara di Laut China Selatan yang kian terancam.

Transformasi Ketenteraan Amerika di Bawah Trump

Trump telah memperluas jurang kuasa Amerika yang tiada tandingan di dunia. Dalam penggal pertamanya, beliau menubuhkan Space Force dan memodenkan armada, di samping menaik taraf simpanan nuklear dan kesiapsiagaan ketenteraan. Kini, lebih US$1 trilion akan dibelanjakan tahun depan — jumlah terbesar dalam sejarah.
Perubahan nama daripada Department of Defense kepada Department of War menggambarkan perubahan paradigma ini. Beliau juga berikrar membina jet pejuang generasi keenam baharu (F-47) dan pengebom halimunan jarak jauh  (B-21), disertai peluru berpandu hipersonik dan sistem tanpa pemandu.

Space Force juga menunjukkan hasilnya, dengan roket SpaceX Falcon 9 memperluas capaian Amerika ke orbit​.

Inisiatif Golden Fleet yang dicadangkan oleh Trump untuk masa depan angkatan armada laut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memastikan dominasi kuasa maritim Amerika kekal terpelihara.
Ia membayangkan generasi baharu kapal perang, termasuk kapal kombatan besar, kapal dengan peluru berpandu hipersonik dan sistem automatik – direka khas untuk menandingi China.

Dengan usaha Trump, Amerika kini memiliki lebih banyak senjata nuklear berbanding mana-mana negara lain.

Namun semua ini tidak bermakna Amerika mengutamakan peperangan atau konflik. Inilah inti falsafah Peace through Strength – kekuatan maksimum untuk mencegah peperangan, dan kuasa ini adalah demi keamanan. Ia terserlah dalam imej Trump sebagai pendamai atau peacemaker yang konsisten, dengan berjaya mencegah serta menyelesaikan lapan konflik hanya dalam tempoh setahun pemerintahannya.

Seperti kata Hegseth, matlamat Washington ialah meningktkan kos konflik dan menjadikan kos peperangan terlalu mahal dan justeru, memaksa keamanan sebagai satu-satunya pilihan. Ini strategi  bijak yang hanya mampu dilaksanakan oleh Amerika secara sepenuhnya.

Kebangkitan semula kuasa dan fokus Amerika di rantau ini adalah tepat dan membentuk sebagai perisai yang ASEAN perlukan.

Bagi para pembuat dasar Malaysia dan ASEAN, mesejnya amat jelas: masa depan keselamatan Indo-Pasifik bergantung kepada kekuatan ketenteraan dan maritim Amerika.

ASEAN mesti berhenti daripada terus bersikap berkecuali dan kini tiba waktunya untuk menerima tawaran keselamatan dan hubungan adil daripada Presiden Trump.

Langkah ini bukan sahaja akan menghalang ancaman masa depan China, malah memperdalam hubungan perdagangan dan teknologi yang menjadi asas masa depan rantau ini.

Lawatan Hegseth dan kunjungan bersejarah Trump perlu menjadi panggilan kesedaran baharu dan disambut dengan tangan terbuka, untuk memperkukuh kerjasama pertahanan Malaysia-A.S. dan, secara tidak langsung, keseluruhan pakatan ASEAN-A.S.

Dalam era persaingan kuasa besar ini, hanya Amerika Syarikat yang menawarkan jaminan sahih dan berkeupayaan yang diidamkan oleh Malaysia serta pelaku negara rantau ini, walaupun tidak ditonjolkan secara terbuka dalam medan model ASEAN yang mementingkan neutrality.

Inilah masa kritikal bagi membentuk era dan lembaran baharu serantau yang mementingkan tonggak kedaulatan negara, dan memelihara keamanan dan keselamatan serantau berpaksikan kepada rules-based order, rule of law dan keluhuran undang-undang antarabangsa.

Selamat datang ke Malaysia, Setiausaha Hegseth.

COLLINS CHONG YEW KEAT ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Lensa Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *