Ardell Aryana Kongsi Cabaran Misi Flotilla ke Gaza: “Mandi Pun Guna Air Laut”

KUALA LUMPUR: “Nak ambil wuduk, gosok gigi dan bersihkan diri semua hanya dengan air laut. Air bersih yang tinggal untuk makan dan minum kami hanya sekitar empat liter.”

Itulah kisah dikongsi pelakon serta aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, 35, atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, yang kini menyertai pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza. Ardell, satu-satunya sukarelawan dari Malaysia di atas sebuah kapal kecil yang membawa sembilan aktivis, mendedahkan bahawa bekalan makanan mereka semakin berkurangan.

Menurutnya, keadaan kapal yang kecil serta sering dihentam ribut menjadikan perjalanan bukan sahaja mencabar secara fizikal, tetapi juga mental. “Saya jangka perjalanan ini mungkin ambil masa berminggu-minggu lagi. Kami dari Malaysia memang diasingkan untuk elak risiko—contohnya, Zizi Kirana berada di kapal lain,” jelasnya dalam siaran langsung di TikTok.

Dalam perkongsian itu, Ardell turut menceritakan keadaan serba kekurangan: tiada peluang untuk mandi, hanya mampu lap badan; tidur pula dilakukan secara bergilir di ruang sempit; malah tandas hampir rosak akibat cuaca buruk. “Solat pun kena berdiri kerana ruang terlalu kecil,” katanya.

Walaupun diuji dengan pelbagai kesukaran, Ardell tetap reda dan fokus untuk menamatkan misi. Beliau juga menceritakan detik cemas apabila kapal mereka dikesan dron pengintip sekitar jam 10.26 malam Selasa lalu, memaksa semua kru bergegas ke dek atas selepas menerima arahan kapten.

Bekalan Dicatu, Hanya Dua Kali Makan Sehari

Bagi memastikan makanan mencukupi hingga ke hentian berikutnya, semua sukarelawan hanya makan dua kali sehari dengan bekalan yang dicatu. “Banyak ujian atas kapal ini, tapi saya hanya fokus pada misi membuka kepungan Gaza. Mereka di sana lebih derita—bayi haus tanpa air bersih. Jadi, doa agar iman kami terus teguh,” katanya.

Ardell turut memohon doa rakyat Malaysia untuk keselamatan mereka yang kini semakin hampir dengan perairan Gaza. “Saya tawakal sepenuhnya pada Allah SWT. Sebagai wanita Muslim dari Malaysia, saya yakin strategi kami adalah sentiasa berhimpit supaya keselamatan terjaga,” tambahnya.

Sebelum ini, Ardell dan Zizi Kirana dilaporkan antara wakil Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla, satu inisiatif bersejarah mengumpulkan sukarelawan antarabangsa bagi menentang sekatan haram Israel ke atas Gaza. Mereka berlepas dari KLIA pada 28 Ogos lalu ke Sepanyol sebelum memulakan pelayaran ke Gaza tiga hari kemudian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *