Kekecohan Laungan Semasa Ucapan Dasar Presiden BERSATU

SHAH ALAM: Suasana tegang tercetus di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) malam ini apabila laungan bertentangan kedengaran daripada para perwakilan. Teriakan “turun Tan Sri” berselang-seli dengan “hidup Tan Sri” menggamatkan dewan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menyampaikan Ucapan Dasar Presiden.

Insiden itu menyebabkan ucapan Muhyiddin terganggu selama beberapa minit. Difahamkan kekecohan bermula di bahagian tengah dewan, dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati segelintir ahli ketika beliau menyentuh isu pengumpulan tandatangan oleh pihak tertentu bagi mendesak pengunduran dirinya.

Beberapa perwakilan yang membantah bangkit melaungkan desakan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan, namun tindakan itu segera dibalas dengan sorakan sokongan oleh kumpulan lain. Keadaan menjadi semakin panas sebelum pasukan keselamatan parti campur tangan bagi mengawal suasana, membolehkan Muhyiddin meneruskan ucapannya.

Dalam sidang media selepas itu, Muhyiddin menjelaskan bahawa beliau tidak menyedari secara langsung mengenai kekecohan berkenaan kerana sedang fokus kepada ucapannya. Beliau menyifatkan insiden seperti itu sebagai perkara biasa dalam politik, dan sebarang tindakan disiplin hanya akan ditentukan selepas laporan penuh diterima daripada pihak keselamatan.

“Bagi saya, perhimpunan tetap berjalan lancar secara keseluruhannya. Insiden tadi tidak menjejaskan perjalanan PAT BERSATU,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan untuk berundur, Muhyiddin menegaskan perkara itu tertakluk kepada perlembagaan parti serta tahap sokongan terhadap beliau selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Tempoh jawatan Presiden adalah tiga tahun. Jika ada usaha untuk menggantikan saya, ia perlu dibuat mengikut saluran perlembagaan. Sama ada saya akan terus memimpin selepas penggal berakhir, itu bergantung pada sokongan ahli,” jelas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *