
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil siasatan Ops Sikaro yang melibatkan 14 syarikat pemegang lesen import sah, namun disalahgunakan melalui pengisytiharan palsu bagi mengelak cukai serta membawa masuk barangan terlarang.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, menjelaskan bahawa antara taktik yang digunakan ialah menukar kod kastam dan butiran barangan bagi mengurangkan jumlah cukai sebenar.
“Walaupun lesen import yang dimiliki sah, aktiviti utama syarikat tersebut sebenarnya tertumpu kepada penyeludupan produk tembakau, rokok, cerut dan minuman keras. Barangan berkenaan disimpan di gudang persendirian sebelum diedarkan ke pasaran tanpa melalui saluran rasmi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, sebahagian syarikat yang terlibat bertindak sebagai ejen penghantaran atau forwarding agents tanpa memiliki lesen atau dokumen lengkap, sekali gus membuka ruang besar untuk penyelewengan.
“Kedudukan mereka sebagai penghubung utama dalam proses penghantaran menjadikan aktiviti penyeludupan lebih mudah berlaku,” katanya lagi.
Menurutnya, tindakan ini menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai melebihi RM250 juta hanya melibatkan tembakau dan cerut dari tahun 2020 hingga 2024, manakala anggaran keseluruhan diyakini jauh lebih besar.
Setakat ini, SPRM telah membekukan akaun bank milik individu serta syarikat yang berjumlah kira-kira RM218 juta selain menggantung beberapa lesen import berkaitan.
“Kes seumpama ini menjadi tumpuan kerana hasil cukai sepatutnya dikembalikan untuk manfaat rakyat dan pembangunan negara. Justeru, SPRM tidak akan berkompromi dalam kes melibatkan rasuah, pengubahan wang haram mahupun penyeludupan,” jelas beliau.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).