
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Inisiatif Penandaan Harga Ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti kini memasuki fasa baharu dengan pendekatan penguatkuasaan berbentuk pendidikan selama tiga bulan sebagai langkah awal ke arah ketelusan harga ubat di negara ini. Langkah ini diumumkan dalam sesi taklimat khas kepada rakan media yang berlangsung pagi ini, dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr Azuana Ramli serta Ketua Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam.
Inisiatif ini diwujudkan bagi memperkasa pengguna dengan maklumat harga ubat yang lebih telus, sekaligus membolehkan rakyat membuat pilihan bermaklumat serta merancang perbelanjaan kesihatan mereka, terutamanya bagi rawatan jangka panjang yang memerlukan kos berterusan. Dalam masa yang sama, kerajaan turut mengiktiraf kebimbangan daripada pemain industri kesihatan swasta, justeru pendekatan secara berperingkat dipilih bagi memberi ruang kepada fasiliti untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dasar ini. Fasa penguatkuasaan awal akan lebih menumpukan kepada advokasi, pemantauan serta sesi libat urus bersama pemain industri.
Sepanjang tempoh tiga bulan pertama, tiada tindakan saman atau denda akan dikenakan ke atas pengamal industri, sebaliknya fokus utama diberikan kepada pendidikan dan latihan kepada pasukan penguat kuasa berkaitan pelaksanaan inisiatif ini. Kerajaan yakin bahawa pelaksanaan penandaan harga ubat akan memberikan impak positif kepada rakyat secara menyeluruh, selain menyokong matlamat kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara yang lebih adil, telus dan mampan, selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang mengutamakan keterbukaan serta kesejahteraan rakyat. Artikel ini dilaporkan oleh Lensa Malaysia.
