Inkues Kes Kematian Pelajar Zara Qairina Bermula di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU – Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, bermula hari ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Inkues yang dijadualkan berlangsung selama 19 hari akan bersidang pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September, serta 22 hingga 30 September. Prosiding ini dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai Koroner.

Sepanjang prosiding, seramai 70 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk pakar patologi yang melakukan bedah siasat terhadap remaja berusia 13 tahun itu.

Barisan pendakwaan diketuai Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad, bersama Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan, dan Dacia Jane Romanus.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Beliau sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di tepi asrama sekolahnya di Papar sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai.

Susulan laporan siasatan polis, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 13 Ogos mengarahkan inkues dijalankan. Terdahulu pada 8 Ogos, AGC turut memutuskan supaya kubur pelajar berkenaan digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dilaksanakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *