
STOCKHOLM – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca menyatakan keyakinannya bahawa pasukannya hampir pasti layak ke perlawanan akhir selepas meraih kemenangan selesa 4-1 ke atas Djurgarden dalam aksi separuh akhir pertama Liga Konferens Eropah (UECL) awal pagi tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium 3Arena, skuad The Blues tampil garang dengan jaringan daripada Jadon Sancho, Noni Madueke serta dua gol yang dijaringkan oleh penyerang utama mereka, Nicolas Jackson.
Maresca memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pemainnya sejak sepak mula lagi, sekaligus memberi kelebihan besar kepada Chelsea menjelang pertemuan timbal balik yang akan berlangsung di Stamford Bridge minggu hadapan.

“Ini merupakan keputusan yang penting dan hasil daripada pelaksanaan taktikal yang sangat baik oleh para pemain. Saya amat berbangga kerana bukan mudah untuk mencatat kemenangan dalam saingan separuh akhir di pentas Eropah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau sedikit kecewa apabila pasukannya melepaskan satu gol meskipun sudah berada di hadapan dengan kelebihan jaringan yang besar.
“Ketika kami sudah selesa mendahului, pemain seolah-olah kehilangan tumpuan dan ini menyebabkan kami dibolosi. Perkara ini perlu diperbaiki supaya tidak berulang pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Maresca turut meluahkan kegembiraannya kerana dapat memberikan peluang debut kepada pemain muda Reggie Walsh, yang kini tercatat sebagai pemain termuda dalam sejarah Chelsea membuat penampilan kompetitif pertama pada usia 17 tahun.
“Walsh masih muda tetapi sangat sesuai dengan corak permainan yang kami terapkan. Musim ini sahaja kami telah memberikan debut kepada lapan pemain muda dan saya sangat berpuas hati dengan pendekatan ini,” tambah beliau. – AGENSI


