
Seberang Perai, 2 Mei 2025 — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini secara rasmi menerima penyerahan blok tambahan Hospital Seberang Jaya, menandakan satu lagi kejayaan hasil kerjasama erat antara KKM dan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR).
Projek pembangunan yang dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini bertujuan meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Seberang Perai serta kawasan sekitarnya. Dengan penambahan kapasiti serta kepakaran pelbagai disiplin dan sub-kepakaran, Hospital Seberang Jaya dijangka memainkan peranan sebagai pusat rujukan utama bagi zon utara Semenanjung Malaysia.
Menteri Kesihatan Malaysia dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, pihak JKR dan semua tenaga kerja yang terlibat dalam menjayakan pembangunan fasiliti penting ini.
Namun demikian, beliau menegaskan bahawa pembangunan hospital sahaja tidak mencukupi dalam menjamin kesejahteraan kesihatan rakyat secara holistik.
“Kita mesti memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer dengan memberi fokus kepada peralihan daripada model ‘sick care’ kepada ‘health care’. Ini bermakna kita perlu memperluas usaha pencegahan, saringan awal dan rawatan susulan di peringkat akar umbi,” katanya.
Sebagai langkah lanjut, KKM akan memberi keutamaan kepada penambahbaikan klinik-klinik kesihatan seperti di Tasek Mutiara, Mak Mandin dan Bayan Lepas agar kemudahan kesihatan asas dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat setempat.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesihatan rakyat adalah amanah yang perlu ditunaikan dengan integriti dan kebertanggungjawaban.
“Ia bukan sekadar diukur melalui batu-bata atau angka pembinaan. Setiap pelaburan kesihatan awam mesti memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat — dengan cekap, berkualiti dan bermakna.”
Blok tambahan ini dijangka mula beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat dan akan menyumbang secara signifikan dalam mempertingkatkan keberkesanan sistem perkhidmatan kesihatan awam di kawasan utara tanah air.

