Xi Jinping Hos Sidang Kemuncak SCO di Tianjin, Lebih 20 Pemimpin Dunia Hadir

TIANJIN, China: Presiden Russia dan Belarus antara lebih 20 pemimpin Eurasia yang menghadiri majlis perasmian dipengerusikan Presiden China, Xi Jinping, sempena hari terakhir Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), sekali gus memperlihatkan peranan dominan Beijing dalam hubungan serantau.

Sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari itu diadakan di pelabuhan Tianjin, utara China, hanya beberapa hari sebelum Beijing menganjurkan perarakan ketenteraan besar-besaran bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua.

SCO yang ditubuhkan pada 2001 kini dianggotai China, India, Russia, Pakistan, Iran, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan dan Belarus, manakala 16 negara lain diberi status pemerhati atau rakan dialog.

Majlis kali ini mencatat sejarah apabila kesemua pemimpin hadir serentak, dengan Xi dijadual menyampaikan ucapan utama. Presiden Russia, Vladimir Putin tiba di Tianjin bersama barisan pegawai kanan kerajaan dan wakil sektor perniagaan.

Xi turut mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk Presiden Belarus, Alexander Lukashenko serta Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang membuat lawatan pertamanya ke China sejak 2018. Dalam perbincangan itu, Modi menekankan kesediaan India memperkukuh hubungan berdasarkan prinsip saling percaya, maruah dan sensitiviti.

Walaupun China dan India berdepan persaingan pengaruh serta pernah terbabit dalam konflik di sempadan pada 2020, hubungan kedua-duanya mula menunjukkan pemulihan sejak Oktober lalu selepas pertemuan Modi dan Xi di Russia, buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.

Sepanjang sidang kemuncak, keselamatan di Tianjin diperketatkan dengan penutupan jalan-jalan utama serta kawalan ketat polis. Poster rasmi SCO turut dipamerkan di seluruh bandar dengan slogan seperti “manfaat bersama” dan “kesaksamaan” dalam bahasa Cina dan Russia.

China dan Russia secara konsisten menampilkan SCO sebagai alternatif kepada NATO. Sidang kali ini juga menjadi tumpuan kerana ia berlangsung selepas Donald Trump kembali menerajui Amerika Syarikat.

Antara pemimpin lain yang hadir ialah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. Putin dijadual mengadakan rundingan bersama Erdogan dan Pezeshkian untuk membincangkan isu konflik Ukraine serta program nuklear Iran.

Sebahagian besar pemimpin SCO juga dijangka ke Beijing pada Rabu bagi menghadiri perarakan tentera sempena ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua, yang turut disertai pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *