
TAWAU: Polis sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai mengeluarkan ucapan berunsur hasutan ketika menghadiri Himpunan ‘Solidarity Justice For Zara’ di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, memaklumkan pihaknya menerima tiga laporan daripada orang awam berhubung ucapan individu berkenaan yang dikatakan menyentuh kedudukan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. Wanita itu dilaporkan antara yang diberi ruang berucap dalam perhimpunan tersebut.
“Ucapan tersebut didakwa mengandungi elemen hasutan terhadap TYT selain menimbulkan keresahan masyarakat. Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan insiden ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Jasmin, identiti suspek sudah dikenal pasti dan beberapa saksi juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Beliau menegaskan, siasatan akan dijalankan secara telus dan mengikut prosedur bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam kerana tindakan undang-undang tegas akan dikenakan.