PETALING JAYA: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung status pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadualkan bermula 1 Mei ini, sama ada ia diteruskan atau ditangguhkan.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, jawapan bertulis yang diterima di Dewan Rakyat pada 6 Februari lalu menyatakan bahawa pewartaan peluasan SST sepatutnya dilakukan pada suku pertama tahun ini setelah perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan. Namun, sehingga kini, belum ada sebarang pewartaan atau perbincangan mengenainya di Parlimen.
“Kerajaan perlu tampil dengan kenyataan rasmi sama ada pelaksanaan pada Mei 2025 diteruskan atau ditunda. Jika ia ditangguhkan, umumkan segera tarikh baharu yang dirancang secara telus,” katanya menerusi satu kenyataan.
Wee turut menekankan bahawa memandangkan hanya tinggal kurang sebulan sebelum tarikh pelaksanaan tersebut, kerajaan wajar mempertimbangkan penangguhan bagi mengelakkan kekeliruan dalam pasaran.
“Langkah menangguhkan ini boleh membantu mengurangkan ketidaktentuan ekonomi dan memberi masa kepada pemain industri serta pelabur untuk menyesuaikan rancangan mereka.

“Tambahan pula, rakyat kini sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya lagi.
Merujuk kepada jawapan bertulis Kementerian Kewangan, kadar cukai jualan sebanyak 0% akan terus dikekalkan bagi barangan keperluan asas. Sementara itu, kadar 5% dan 10% akan dikenakan ke atas barangan bukan asas termasuk yang diproses, bernilai tinggi dan import.
Cukai perkhidmatan pula dijangka dinaikkan daripada 6% kepada 8%, dan diperluaskan kepada beberapa sektor perkhidmatan yang belum dikenakan cukai sebelum ini.


