SARA RM100: Hampir RM66 Juta Dibeli Dalam Dua Hari

KUALA LUMPUR – Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 mencatat hampir 900,000 transaksi bernilai RM52.7 juta pada hari pertama penebusannya, Ahad lalu.

Pada hari kedua, jumlah pembelian meningkat kepada RM66 juta, dengan beras, telur dan roti putih antara 14 kategori barangan asas paling banyak dibeli melalui insentif sekali bayar yang disasarkan kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas.

SARA RM100 merupakan langkah segera kerajaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup selain tanda penghargaan kepada rakyat, dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM2 bilion.

Bantuan ini boleh digunakan sehingga 31 Disember tahun ini di lebih 7,300 kedai dan pasar raya berdaftar di seluruh negara. Sekiranya baki tidak ditebus selepas tarikh tersebut, ia akan disalurkan semula untuk program bantuan golongan rentan pada tahun hadapan.

Secara asasnya, SARA adalah bantuan tunai yang dikreditkan ke dalam MyKad penerima dan boleh dibelanjakan secara tanpa tunai. Program ini bertujuan memperkukuh kedudukan ekonomi golongan berpendapatan rendah selari dengan prinsip kesaksamaan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Mengikut portal Bantuan Tunai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penerima boleh terus membeli barangan keperluan asas yang tersenarai menggunakan akaun yang telah diaktifkan melalui MyKad.

14 kategori barangan yang dibenarkan melalui SARA RM100 ialah:

  1. Beras
  2. Telur
  3. Mi segera
  4. Makanan dalam tin (seperti sardin, tuna)
  5. Minuman (susu, teh, kopi)
  6. Bahan perasa (sos, kicap, gula, garam)
  7. Biskut
  8. Minyak masak
  9. Roti
  10. Produk kebersihan diri (ubat gigi, tuala wanita, sabun)
  11. Tepung
  12. Barangan kebersihan rumah (sabun pencuci, pencuci pinggan, pencuci lantai)
  13. Ubat-ubatan yang diluluskan KKM
  14. Keperluan sekolah (pakaian seragam, kasut, beg sekolah, alat tulis)

Langkah pembelian menggunakan SARA RM100:

  1. Pilih barangan dalam 14 kategori dengan label MyKasih pada rak harga.
  2. Serahkan MyKad kepada juruwang untuk pengesahan.
  3. Barangan akan diimbas mengikut kategori yang dibenarkan.
  4. Bayaran dibuat menggunakan MyKad sebagai pengesahan transaksi.
  5. Simpan resit sebagai rujukan pembelian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *