Nga Kor Ming Bincang Strategi Bantuan Mangsa Letupan Gas Bersama PM

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dijadualkan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membincangkan pendekatan paling berkesan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa tragedi kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights.

“Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri untuk merangka formula terbaik bagi membantu mereka yang terjejas. Sebaik saja keputusan dimuktamadkan, kami akan umumkan secara rasmi,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Projek Perumahan Mampu Milik ke-14 di Kuala Lumpur.

Mengulas kritikan mengenai ketidakhadirannya di lokasi kejadian dan pusat pemindahan sementara, Nga menegaskan bahawa keutamaan beliau adalah menyelesaikan masalah secara menyeluruh, bukan sekadar kehadiran simbolik.

“Tak perlu kita layan kritikan yang tidak membina. Fokus utama saya adalah cari jalan penyelesaian sebenar untuk rakyat,” tegasnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa bantuan telah mula disalurkan oleh pelbagai pihak. “Setakat ini, kementerian-kementerian berkaitan sudah menyalurkan bantuan kepada mangsa. Malah DAP juga telah mengumpulkan dana dan menyalurkan kesemuanya kepada mereka yang terjejas. Semua pihak memainkan peranan. Saya pula memberi tumpuan kepada penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Insiden letupan saluran gas milik Petronas yang berlaku sekitar jam 8.10 pagi Selasa lalu telah mencetuskan kebakaran besar dengan nyalaan api setinggi 30 meter dan suhu dianggarkan mencecah 1,000 darjah Celsius. Pasukan bomba mengambil hampir lapan jam untuk mengawal sepenuhnya kebakaran tersebut.

Kejadian itu menjejaskan 219 buah rumah, sementara 220 kediaman lain disahkan selamat dan tidak mengalami kerosakan.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), seramai 38 daripada 146 mangsa insiden masih menerima rawatan, dengan 18 dirawat di hospital kerajaan dan 20 lagi di fasiliti kesihatan swasta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *