MiSHA Seru Siasatan Telus dan Profesional Berhubung Letupan Gas di Putra Heights

KUALA LUMPUR, 7 April – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan berhubung insiden letupan saluran gas di Putra Heights. MiSHA menekankan bahawa langkah ini amat penting untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan ia disiasat dengan telus serta profesional.

Presidennya, Encik Aziz bin Basiran, mencadangkan penubuhan pasukan khas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kejadian ini dengan melibatkan wakil dari pelbagai sektor, termasuk pakar keselamatan, industri berkaitan, dan agensi penguatkuasaan.

“Siasatan ini perlu dilakukan dengan objektiviti dan berasaskan bukti saintifik tanpa sebarang spekulasi. Semua pihak yang berkepentingan harus terlibat untuk memberikan perspektif yang lebih lengkap,” katanya.

MiSHA juga menegaskan bahawa penyiasatan perlu berfokuskan kepada aspek teknikal dan faktor penyumbang insiden tersebut. Menurutnya, ketelusan harus dijaga di setiap peringkat siasatan agar keputusan yang diambil adalah berlandaskan fakta yang sahih.

Sebagai organisasi yang mewakili pelbagai sektor industri, MiSHA berperanan bukan hanya sebagai badan pemantau, tetapi juga sebagai rakan strategik kepada kerajaan dalam memastikan peraturan keselamatan dilaksanakan dengan berkesan.

MiSHA mencadangkan agar pihak berkuasa mengadakan perbincangan berkala dengan semua pihak yang terlibat, untuk memastikan maklumat yang tepat dan terkini dapat dikongsi dan mengukuhkan kerjasama dalam memperbaiki sistem keselamatan.

Selain itu, MiSHA juga menggesa agar laporan sementara disediakan bagi memberikan gambaran awal tentang penemuan siasatan, sementara laporan akhir disediakan selepas siasatan selesai. Ini akan memberi peluang kepada pihak berkuasa dan industri untuk mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kejadian yang sama pada masa hadapan.

MiSHA turut mengingatkan pentingnya komunikasi yang jelas dengan media bagi memastikan informasi yang disampaikan adalah tepat dan tidak mengelirukan masyarakat. Penyebaran maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak berasas.

Selain itu, MiSHA menyarankan supaya semua tindakan susulan yang dicadangkan dalam laporan siasatan dilaksanakan dengan cekap untuk meningkatkan keselamatan industri dan penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat. Pematuhan terhadap peraturan keselamatan seperti Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) 2024 perlu dinilai bagi memastikan kejadian seumpama ini dapat dielakkan.

MiSHA juga melahirkan rasa kesal terhadap sebarang tuduhan yang tidak berasas berkaitan tragedi ini dan menyeru supaya spekulasi dihentikan sehingga siasatan rasmi selesai.

“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Semua pihak harus bekerjasama, termasuk penggubal dasar, pihak berkuasa, industri, serta pekerja di lapangan, bagi memastikan keselamatan di tempat kerja sentiasa terjamin,” ujar Aziz lagi.

MiSHA turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menangani insiden ini dan mengucapkan takziah kepada mangsa serta keluarga yang terkesan.

“Semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada kejadian ini dan berusaha mempertingkatkan tahap keselamatan di masa hadapan,” katanya.

One Response

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *