Liga Bolasepak Belia U16 Zon Simpang Renggam 2025 Jayakan Misi Cungkil Bakat Akar Umbi

Kluang, 19 Oktober 2025 – Stadium Mini Machap, Johor Darul Takzim menjadi tumpuan ratusan pengunjung apabila Kelab Bolasepak Belia Machap, dengan kerjasama Malaysian Industrial Safety and Health Association (MiSHA), berjaya menganjurkan Liga Bolasepak Belia U16 Zon Simpang Renggam 2025 bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2025.

Kejohanan sehari penuh itu telah menghimpunkan pasukan-pasukan belia bawah 16 tahun dari seluruh kawasan Simpang Renggam. Pertandingan bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada 5.00 petang, menampilkan aksi sengit peringkat kumpulan, separuh akhir dan perlawanan akhir bagi merebut Piala Pusingan Liga Belia U16 serta hadiah wang tunai, trofi dan medal penghargaan

Sukan Sebagai Asas Disiplin dan Kesedaran Keselamatan

Penyelaras program, Encik Mohd Wahidi Mohamed Yunos, berkata kejohanan ini bukan sekadar acara sukan, tetapi platform untuk melahirkan generasi belia yang berdisiplin, sihat dan sedar akan kepentingan keselamatan.

“Belia ialah aset penting negara. Melalui sukan seperti bola sepak, mereka belajar tentang disiplin, semangat berpasukan, dan kepimpinan. Namun yang lebih penting, melalui kerjasama dengan MiSHA, kami ingin menyemai nilai keselamatan dan kesihatan dalam setiap aktiviti mereka, sama ada di padang atau dalam kehidupan seharian,” ujar beliau ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah

Beliau menambah bahawa kejohanan ini berjaya menjadi platform akar umbi untuk mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, selain memperkukuh semangat perpaduan dan integrasi masyarakat setempat melalui sokongan padu komuniti.

Sokongan Komuniti dan Penaja Jadi Pemangkin Kejayaan

Penganjuran liga ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan dan organisasi swasta yang menyalurkan sumbangan kewangan melalui. Mohd Wahidi turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejohanan ini berlangsung dengan lancar dan meriah.

“Sokongan masyarakat amat kami hargai. Kami mahu melihat generasi muda kita membesar dengan semangat kesukanan, menghargai keselamatan, dan berbangga mewakili komuniti mereka di gelanggang,” katanya lagi

Anugerah dan Pengiktirafan Peserta

Setiap pasukan yang mengambil bahagian menerima Sijil Penyertaan sebagai tanda penghargaan atas semangat dan komitmen mereka dalam menjayakan kejohanan ini. Majlis penutup disempurnakan dengan penyampaian hadiah kepada pasukan pemenang serta ucapan penghargaan kepada penaja dan sukarelawan.

Kejayaan Liga Bolasepak Belia U16 Zon Simpang Renggam 2025 bukan sahaja mencipta kenangan indah buat para peserta, malah membuktikan bahawa dengan kesungguhan dan kerjasama komuniti, sukan mampu menjadi wahana membina generasi belia yang sihat, berdisiplin dan berjiwa besar selaras dengan tema program,

“Belia Sihat, Sukan Cergas, Komuniti Bermuafakat.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *