
KUALA LUMPUR – Kerajaan menekankan kepentingan penyertaan warga emas dalam pasaran pekerjaan bukan sahaja dari sudut sosial, malah turut memberi sumbangan positif kepada ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata galakan ini dilaksanakan melalui pemberian insentif cukai kepada majikan yang menggajikan pekerja berusia 60 tahun ke atas. Insentif tersebut mula diperkenalkan pada 2019 dan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025, dengan tujuan memastikan warga emas mempunyai pendapatan berterusan.
“Selain itu, pembayar cukai warga emas boleh menikmati pelbagai pelepasan cukai individu merangkumi aspek kehidupan seperti diri dan tanggungan, rawatan perubatan, kesihatan, persaraan, insurans serta gaya hidup termasuk aktiviti sukan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara semalam.
Beliau turut memaklumkan kerajaan sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 yang merangkumi bidang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial, bagi mempersiapkan negara berdepan status masyarakat menua.
Mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, hampir 42 peratus warga emas hidup dalam keadaan kemiskinan relatif, sekali gus menuntut penambahbaikan terhadap struktur simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar lebih mampan dan mencukupi bagi menampung persaraan jangka panjang.
Cadangan Pencen Bulanan KWSP
Mengenai cadangan kaedah pencen bulanan KWSP, Amir Hamzah menjelaskan skim berstruktur baharu akan diperkenalkan sebaik ahli mencapai umur persaraan minimum.
Di bawah cadangan ini, simpanan ahli akan dibahagi kepada dua:
- Simpanan fleksibel – boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan.
- Simpanan pendapatan – diagihkan secara bulanan atau berkala sehingga habis.
Beliau menegaskan mekanisme baharu ini tidak akan menjejaskan hak pengeluaran sedia ada, sebaliknya hanya terpakai kepada ahli baharu selepas tarikh pelaksanaannya. Ahli sedia ada pula boleh memilih untuk beralih secara sukarela.
“Namun, cadangan ini masih di peringkat kajian dan keputusan hanya akan dimuktamadkan selepas libat urus bersama pihak berkepentingan serta mengambil kira kepentingan jangka panjang pencarum,” katanya.