
Sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 di Hospital Serdang Semarakkan Kesedaran Nasional
SERDANG, 2 OKTOBER 2025 – Penyakit kardiovaskular terus kekal sebagai penyebab kematian utama di Malaysia, dengan statistik menunjukkan hampir satu daripada empat kematian di negara ini berpunca daripada penyakit jantung dan strok. Angka ini bukan sekadar membimbangkan, malah menjadi amaran jelas tentang ancaman kesihatan yang semakin menular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Lebih merisaukan, trend semasa menunjukkan peningkatan kes jantung dalam kalangan golongan muda dan berusia produktif, hasil daripada gaya hidup tidak aktif, tekanan kerja yang tinggi, serta tabiat pemakanan yang tidak sihat.
Dalam konteks ini, Sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 yang diadakan di Hospital Serdang hari ini amat signifikan. Program ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform mempertingkatkan kesedaran awam terhadap penjagaan jantung dan kepentingan pencegahan awal, tetapi turut menjadi sebahagian daripada inisiatif Jelajah Wira MADANI gerakan kesihatan nasional yang dipelopori Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam ucapan yang disampaikan pada majlis pelancaran tersebut, penganjur menegaskan bahawa kesihatan jantung adalah tanggungjawab bersama melibatkan setiap lapisan masyarakat termasuk individu, keluarga, komuniti, dan kerajaan.
“Pencegahan mesti menjadi teras dalam setiap dasar dan amalan kesihatan kita. Langkah kecil seperti pemantauan tekanan darah, berhenti merokok, pemakanan seimbang, dan aktiviti fizikal harian mampu menyelamatkan nyawa,” jelasnya.
Selaras dengan semangat Malaysia MADANI, Jelajah Wira MADANI memberi tumpuan khusus kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes dan hipertensi. Melalui pelbagai program turun padang termasuk kempen “Walk the Talk”, pemeriksaan kesihatan percuma, dan sesi pendidikan komuniti, KKM berusaha memastikan mesej kesihatan disampaikan terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membentuk masyarakat yang sihat bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental, emosi dan spiritual, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Marilah kita bersama-sama membina masyarakat yang benar-benar sihat masyarakat yang menjaga jantung, mengawal minda dan menyuburkan jiwa dengan nilai-nilai positif,” ujar beliau menutup ucapannya.
Sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 di Hospital Serdang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kesedaran seperti senam robik, ceramah kesihatan, pameran interaktif dan pemeriksaan kesihatan percuma yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.