IPOH – Pelakon veteran tanah air, Noor Azizah Azizul Hassan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Sungai Paloh, Ipoh awal pagi tadi akibat sesak nafas. Allahyarhamah berusia 79 tahun.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave yang menerima berita duka itu daripada anak perempuan Noor Azizah, Khairena.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Paloh, Ipoh dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor hari ini. Beliau meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi akibat sesak nafas,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama.
Menurut DJ Dave lagi, Allahyarhamah pulang ke kampung halamannya di Kampung Sungai Paloh bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Noor Azizah memulakan karier lakonannya pada tahun 1965 menerusi watak Puteri Mawarni dalam filem Dayang Senandong. Bakatnya terus bersinar dengan membintangi beberapa filem terkenal termasuk Raja Bersiong dan Enam Jahanam.
Dilahirkan di Kinta, Perak, beliau telah terlibat dalam hampir 20 buah filem antaranya Sri Andalas, Jangan Tinggal Daku, Durjana, Laksamana Do Re Mi, dan Malim Kundang.
Selain itu, Noor Azizah turut mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila membintangi drama bersiri terbitan Australia, Bailey Bird pada tahun 1977 dengan memegang watak sebagai Dr. Susan Lim.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Allahyarhamah mengalami masalah buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis secara berkala.
Katanya lagi, pemergian Noor Azizah merupakan satu kehilangan besar buat industri seni tanah air dan pihak Seniman merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga beliau.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Dunia seni kehilangan seorang pelakon berbakat besar,” katanya.


