Deklarasi Kuala Lumpur 2025 Perkukuh Keselamatan Digital ASEAN

KUALA LUMPUR – Sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula hari ini, tumpuan tertumpu kepada pelancaran Deklarasi Kuala Lumpur 2025, dokumen penting yang bakal menandakan bab baharu dalam pembangunan serantau, terutamanya dari aspek digitalisasi dan keselamatan maklumat.

Jika dahulu, Deklarasi Kuala Lumpur 1971 yang ditandatangani oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Datuk Hussein membentuk Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN), maka deklarasi tahun ini pula muncul dalam suasana global yang lebih kompleks — didominasi oleh kemajuan teknologi, ancaman siber, dan komunikasi tanpa sempadan.

Menurut Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, Penganalisis Politik dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, deklarasi baharu ini memberi ASEAN satu imej segar sebagai kuasa baharu dunia yang bersedia memimpin dalam bidang digitalisasi, keselamatan maklumat dan tadbir urus teknologi.

“Malaysia sebagai kuasa pertengahan mempunyai kelebihan untuk membawa ASEAN mendominasi sektor berkepentingan dunia — dari digitalisasi, ekonomi hinggalah kepada keselamatan serantau,” katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Keutamaan: Kawal Selia Media Sosial dan Keselamatan Digital

Deklarasi Kuala Lumpur 2025 dijangka memberi penekanan kepada garis panduan media sosial yang merangkumi dasar keselamatan media serantau, terutamanya dalam mengekang penyebaran maklumat palsu dan ekstremisme. Ini selaras dengan pendekatan Malaysia yang memperkenalkan pelbagai inisiatif kawal selia termasuk penggunaan teknologi pintar seperti Chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) yang dilancarkan awal tahun ini.

“Malaysia boleh berkongsi pengalaman dalam pembentukan dasar dan kawal selia digital bersama negara ASEAN lain. Ini penting untuk membina satu konsensus digital serantau yang selamat dan bersatu,” kata Dr Nirwandy.

Dalam era digital tanpa sempadan, pemantauan terhadap kandungan media sosial menjadi semakin kritikal. Malaysia mengorak langkah awal dalam perkara ini dan diyakini mampu menjadi peneraju dalam memperkenalkan pembentukan algoritma ASEAN bagi memastikan kandungan digital di rantau ini sehaluan, bebas dari hasutan kebencian dan ideologi ekstremis.

ZOPFAN Baharu dalam Bentuk Digital

Walaupun Deklarasi KL 2025 tidak menggantikan ZOPFAN, ia dianggap sebagai kesinambungan yang relevan kepada cabaran semasa. Fokus kali ini tertumpu kepada keselamatan digital, pelindungan data dan kerjasama teknologi yang mampu memperkukuh ketahanan ASEAN menghadapi krisis luar jangka seperti pandemik dan konflik siber.

“Deklarasi ini membina satu tunjang dasar baharu berkaitan media sosial dan digitalisasi yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan dan kesiapsiagaan ASEAN masa depan,” ujar Nirwandy.

Beliau menekankan, dalam menghadapi tekanan ekonomi, ketidakstabilan politik dan ancaman radikal yang tersebar melalui media sosial, ASEAN memerlukan dasar kukuh dan data terkini untuk menangani cabaran itu secara bersepadu.

Malaysia Sebagai Pemacu Digitalisasi Serantau

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menerajui pembentukan dasar digitalisasi yang mapan, sekaligus memacu kerjasama diplomatik, ekonomi dan teknologi dengan negara-negara jiran.

Dengan lahirnya Deklarasi Kuala Lumpur 2025, ASEAN bukan sahaja memperbaharui komitmennya terhadap kerjasama serantau tetapi juga membuktikan kesediaannya untuk melangkah ke hadapan sebagai blok yang lebih digital, lebih selamat dan lebih kukuh. Di bawah kepimpinan Malaysia, inisiatif ini mampu membawa rantau ini ke pentas dunia sebagai model rantau masa depan yang bersatu dalam teknologi dan prinsip.

Deklarasi Kuala Lumpur 2025 yang dilancarkan secara rasmi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini, bukan sekadar simbolik, tetapi satu langkah konkrit dalam membentuk ASEAN yang lebih bersedia dan bersatu menempuh gelombang perubahan global.

“Daripada tekanan yang dialami negara-negara ASEAN, kita perlukan satu asas baharu yang memperkukuh jalinan persahabatan, dan Malaysia mempunyai kelebihan itu,” tambah Dr Nirwandy dengan yakin.

“Bersama membina ASEAN digital yang selamat, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *