LAWATAN KERJA RASMI MISHA KE MYANMAR PERKUKUH JALINAN KERJASAMA SERANTAU DALAM ASPEK KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (KKP)

Laporan Khas Oleh Noor Fazrina Noor Kamal

Yangon, 20 Oktober 2025 – Delegasi rasmi Malaysian Industrial Safety and Health Association (MiSHA) telah mengadakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Yangon, Myanmar bermula 18 hingga 20 Oktober 2025, atas jemputan rasmi daripada Workplace Safety and Health Myanmar (WSH Myanmar). Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara dua negara dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), serta membincangkan potensi kerjasama teknikal dan latihan di rantau ASEAN.

Delegasi MiSHA diketuai oleh Timbalan Presiden MiSHA, Ts. Abd Mutalib bin Abd Gapar, bersama Setiausaha Kehormat, Mohamad Abdullah bin Sahri, dan Bendahari, Saiful Tarmaji. Lawatan rasmi ini turut disertai beberapa wakil teknikal dan penasihat keselamatan industri.

Pertemuan Rasmi dan Agenda Strategik

Dalam pertemuan rasmi di Yangon, MiSHA dan WSH Myanmar telah mengadakan sesi rundingan dua hala yang menyentuh beberapa agenda penting berkaitan keselamatan pekerjaan. Antara topik utama ialah

Pembangunan Modul Induksi KKP untuk Pekerja Myanmar di Malaysia.

MiSHA dan WSH Myanmar membincangkan cadangan pembangunan modul induksi keselamatan dan kesihatan pekerjaan khusus kepada pekerja Myanmar sebelum mereka dibenarkan bekerja di sektor industri di Malaysia. Modul ini bakal dijadikan pra-syarat latihan bagi meningkatkan kefahaman pekerja terhadap piawaian keselamatan di tempat kerja, selaras dengan pelaksanaan Occupational Safety and Health Master Plan 2025 (OSHMP25) di Malaysia.

Kerjasama dalam MiSHA Asia Awards on OSH Principles of Prevention (OSH POP 2025).

Kedua-dua pihak turut berbincang mengenai peranan WSH Myanmar sebagai rakan pelaksana dalam proses audit dan penilaian syarikat-syarikat di Myanmar bagi MiSHA Asia Awards OSH POP 2025. Kerjasama ini mencerminkan kepercayaan MiSHA terhadap keupayaan profesional WSH Myanmar dalam menilai pematuhan prinsip pencegahan kemalangan di tempat kerja.

Penganjuran MiSHA Asia Symposium 2025 di Kuala Lumpur.

MiSHA turut menjemput WSH Myanmar sebagai rakan strategik bagi penganjuran MiSHA Asia Symposium 2025, yang bakal berlangsung buat pertama kali di Kuala Lumpur. Simposium ini dijangka menghimpunkan pakar keselamatan dan kesihatan pekerjaan dari seluruh Asia untuk membincangkan inovasi, polisi serantau, dan cabaran industri dalam memperkukuh budaya keselamatan di tempat kerja.

Lawatan ke Institusi TVET dan Industri Myanmar

Sepanjang kunjungan itu, delegasi MiSHA telah dibawa melawat dua institusi latihan utama di bawah sektor kemahiran Myanmar iaitu Myanmar Private TVET Association (MPTA) dan Myanmar TVET Development Institute

Kedua-dua institusi ini memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir tempatan. MiSHA telah berkongsi pengalaman dalam pembangunan modul keselamatan pekerjaan dalam kurikulum TVET di Malaysia, yang boleh dijadikan rujukan dalam usaha Myanmar memperkukuh sistem latihan teknikalnya.

Kunjungan ke Syarikat Pemenang MiSHA Asia Country Award

Delegasi turut berpeluang melawat Myanmar DECO-TBSP Special Product Co. Ltd., sebuah syarikat yang memenangi MiSHA Asia Country Award on OSH Principles of Prevention 2025 bagi mewakili Myanmar.

Syarikat ini merupakan satu-satunya syarikat di Myanmar yang menjalankan operasi percetakan dokumen berkeselamatan tinggi, termasuk dokumen kerajaan dan dokumen perbankan rasmi.

Dalam lawatan tersebut, delegasi MiSHA meninjau sendiri proses kawalan keselamatan yang ketat di setiap peringkat percetakan, serta budaya kerja yang menekankan aspek keselamatan, ketepatan dan kerahsiaan maklumat.

Menurut WSH Myanmar, sebanyak 12 syarikat di seluruh Myanmar telah dicalonkan untuk anugerah ini, namun hanya tiga syarikat terpilih ke peringkat akhir. Setelah melalui proses penilaian rapi oleh panel MiSHA, hanya satu syarikat – Myanmar DECO-TBSP Special Product Co. Ltd. – diumumkan sebagai pemenang rasmi.

Anugerah berprestij ini akan disampaikan secara rasmi dalam majlis MiSHA Asia Awards OSH POP 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC). MiSHA turut berpeluang melakukan lawatan lapangan ke tapak projek pemasangan kabel gentian optik (fibre optic cable) yang dikendalikan oleh Khine May Kha Company.

Lawatan ini memberi pendedahan langsung terhadap aktiviti kerja berisiko tinggi seperti kerja di ketinggian, penggunaan jentera berat, dan operasi di kawasan lalu lintas aktif. Delegasi MiSHA menilai pendekatan keselamatan yang diterapkan oleh syarikat tersebut, termasuk amalan Permit to Work (PTW), Job Safety Analysis (JSA), serta pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) yang menepati piawaian antarabangsa.

MiSHA turut memberikan maklum balas dan cadangan penambahbaikan bagi memastikan tahap keselamatan pekerja di tapak sentiasa berada pada tahap optimum, terutama dalam projek infrastruktur telekomunikasi yang semakin berkembang pesat di Myanmar.

Mengukuh Jaringan ASEAN dalam KKP

Lawatan ini menandakan satu lagi bab penting dalam usaha MiSHA memperkukuh jaringan serantau ASEAN dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ia sejajar dengan visi MiSHA untuk memperkasa budaya pencegahan (Principle of Prevention) di peringkat Asia melalui perkongsian ilmu, kolaborasi teknikal dan penganugerahan berasaskan prestasi keselamatan sebenar di tempat kerja.

Ts. Abd Mutalib dalam kenyataannya menegaskan bahawa kerjasama lintas negara amat penting bagi memastikan pekerja di rantau ini menerima latihan dan pendedahan yang selaras dengan standard global.

“MiSHA komited untuk menjadikan ASEAN sebagai rantau selamat bekerja, dan lawatan ke Myanmar ini adalah satu langkah konkrit ke arah membina ekosistem keselamatan serantau yang mampan dan saling mempercayai,” katanya.

Lawatan kerja rasmi ini bukan sekadar simbol hubungan dua hala, tetapi merupakan permulaan kepada inisiatif bersama antara MiSHA dan WSH Myanmar untuk meningkatkan taraf keselamatan pekerjaan di rantau ini. Melalui usaha berterusan seperti pembangunan modul induksi, kerjasama audit OSH POP, dan penganjuran simposium antarabangsa, MiSHA terus memainkan peranan penting sebagai peneraju keselamatan dan kesihatan pekerjaan di peringkat Asia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *