Chery Kukuhkan Jejak Serantau, Malaysia Jadi Nadi Eksport

WUHU, CHINA – Malaysia semakin kukuh sebagai destinasi pelaburan strategik bagi Chery Holding Group Co Ltd, apabila syarikat automotif terkemuka China itu mengesahkan komitmen untuk menjadikan negara ini sebagai hab utama pengeluaran dan eksport serantau. Presiden Chery International, Zhang Guibing, memaklumkan bahawa pelaburan mereka di Malaysia bukan sahaja melibatkan kemudahan pemasangan sedia ada di Shah Alam dan Kulim, malah turut merangkumi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk kenderaan pemanduan sebelah kanan serta projek mega Chery Smart Auto Industrial Park di Beringin High-Tech Auto Valley (HTA Valley).

Zhang menjelaskan bahawa Malaysia kini memainkan peranan penting dalam strategi pengembangan global Chery, terutamanya sebagai pengeksport ke Vietnam dan bakal diperluaskan ke Thailand serta Turkiye dalam masa terdekat. Beliau menyifatkan Malaysia sebagai lokasi ideal berikutan infrastruktur yang baik, tenaga kerja mahir dan hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua negara. “Kami sedang berbincang dengan kerajaan Malaysia mengenai beberapa pelaburan baharu. Ini sebahagian daripada komitmen Chery untuk memperkukuh kehadiran global,” katanya dalam satu sesi temu bual bersama media Malaysia baru-baru ini. Tambah beliau, pelaburan RM2.2 bilion yang dirancang menerusi Chery Smart Auto Industrial Park dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka membawa teknologi automotif terkini ke Hulu Selangor, selain mencipta peluang pekerjaan dalam sektor berkemahiran tinggi.

Kemudahan baharu itu disasarkan siap menjelang 2026 dengan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 100,000 unit setahun, dan berpotensi ditingkatkan kepada 300,000 unit – menjadikannya antara hab pembuatan automotif terbesar di rantau ini. Kilang ini akan mengeluarkan pelbagai jenis kenderaan termasuk model enjin pembakaran dalaman, kenderaan plug-in hybrid, bateri elektrik (BEV), dan kenderaan cekap tenaga (EEV). Dalam sesi pembentangannya semasa Persidangan Perniagaan Antarabangsa 2025, Zhang turut menyentuh cabaran geopolitik global seperti tarif perdagangan Amerika Syarikat terhadap China, dan menegaskan pentingnya syarikat seperti Chery untuk memperluas kehadiran ke pasaran antarabangsa. “Kami mahu berkongsi manfaat ekonomi dan teknologi automotif dengan negara-negara rakan. Malaysia bukan sahaja menjadi pangkalan pengeluaran, malah bakal mempunyai rantaian bekalan domestik sendiri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap China,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *