PETALING JAYA: Kegiatan mencuri kabel sistem isyarat di laluan utara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) kini menjadi ancaman serius bukan sahaja kepada kelancaran perkhidmatan, malah juga kepada keselamatan penumpang dan barangan yang diangkut melalui rangkaian tren tersebut.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mendedahkan bahawa kes gangguan terhadap perkhidmatan KTM Komuter Utara akibat kecurian kabel meningkat secara mendadak daripada 85 insiden pada Julai 2024 kepada 804 insiden menjelang Disember 2024.
“Sebanyak 20 lokasi panas telah dikenalpasti, dengan laluan antara Sungai Petani dan Tasek Gelugor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 35 kes, manakala sektor Gurun ke Sungai Petani mencatatkan 21 kes sepanjang tahun lalu,” katanya dalam sidang media di Alor Setar, seperti dilaporkan oleh Bernama.
Akibat insiden-insiden ini, KTM menanggung kos pembaikan berjumlah RM1.35 juta, selain mengalami kehilangan masa operasi selama 162 jam.
Sistem semboyan berperanan penting dalam mengatur pergerakan tren dengan selamat, termasuk yang membawa ratusan penumpang dan muatan bernilai jutaan ringgit. Loke menyifatkan kegiatan mencuri kabel ini sebagai tindakan sabotaj yang memberi kesan kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Penguatkuasaan perlu ditingkatkan dan tumpuan juga perlu diberikan terhadap aspek perundangan yang berkaitan keselamatan negara,” tegasnya.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan termasuk pihak polis bagi membanteras sindiket ini serta membawa pelaku ke muka pengadilan.
Sementara itu, pihak KTM telah melaksanakan sebanyak 132 operasi khas termasuk rondaan 24 jam di kawasan berisiko tinggi seperti Sungai Petani, Gurun dan Tasek Gelugor.
Sebagai langkah jangka panjang, KTM juga akan menaik taraf sistem ‘axle counter’ – iaitu sistem pengiraan gandar – dengan kos tahunan sebanyak RM12.8 juta dalam tempoh tiga tahun, khususnya di kawasan yang sering berlaku kecurian.
Langkah tambahan lain termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penggunaan dron, pemasangan pagar keselamatan serta penutup lubang utiliti (manhole) yang dilengkapi sistem kunci baharu untuk mencegah aktiviti mencurigakan.


